Selasa, 11 Jun 2019 | 3:40pm
TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman.

Kerajaan sasar lima lembah tenusu hasilkan susu segar

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membuka empat lagi Lembah Tenusu di negara ini bagi meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran susu segar tempatan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, dua lokasi Lembah Tenusu berkenaan adalah di daerah Muallim dan Larut yang terletak di negeri Perak, satu di daerah Bernam, Selangor dan satu lagi di Sabah.

Katanya, bagi Lembah Tenusu di Perak dan Selangor, ia dijangka mula beroperasi menjelang akhir tahun ini.

“Pembukaan lebih banyak Lembah Tenusu ini menyusuli kejayaan mengagumkan Lembah Tenusu yang sudah beroperasi di Muadzam Shah, Pahang yang mana ia dikendalikan sebuah syarikat tenusu utama dan turut disertai oleh peladang setempat.

“Kerajaan akan menjalankan kerja-kerja infrastruktur di semua Lembah Tenusu berkenaan dan selepas ia siap, ia akan disewa kepada peladang tempatan yang mahu membiakkan lembu-lembu mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran program Farmer2Farmer oleh Dutch Lady Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Duta Besar Belanda ke Malaysia, Karin Mossenlechner dan Pengarah Urusan Dutch Lady Milk Industries Bhd, Tarang Gupta

Mengulas lanjut, Tze Tzin berkata, Kadar Sara Diri (SSL) susu segar di negara ini masih rendah iaitu berada pada paras 58.2 peratus dan ia adalah rendah berbanding negara lain.

“Justeru, saya melihat masih banyak peluang yang boleh diteroka oleh peserta industri dan peladang kecil dalam industri tenusu di sini.

“Sekiranya dilihat dengan prestasi ladang kita, purata seekor lembu dapat menghasilkan 9.3 liter susu dan seekor lembu di Belanda mampu mengeluarkan sehingga 31 liter susu.

“Selain itu, menerusi operasi lima Lembah Tenusu berkenaan, kerajaan menyasar ia dapat meningkatkan SSL kepada 100 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Berita Harian X