Isnin, 3 Jun 2019 | 5:43pm
BRENDAN Walker ketika melakukan lawatan di sebahagian daripada pembangunan The Exchance TRX di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

Pusat beli-belah The Exchange TRX siap suku ketiga 2021

KUALA LUMPUR: Pusat beli-belah The Exchange TRX, yang dahulunya dikenali sebagai Lifestyle Quarter, dijangka siap pada suku ketiga 2021.

Pembangunan peruncitan bercampur seluas 6.88 hektar di di Tun Razak Exchange (TRX) adalah usaha sama antara pemaju pembangunan terkemuka Australia, Lendlease (60 peratus) dan TRX City Sdn Bhd (40 peratus).

Pengarah Projek Lendlease The Exchange TRX, Brendan Walker, berkata nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek mega itu adalah A$3 bilion atau RM9.1 bilion yang terdiri daripada pusat beli-belah empat tingkat, enam blok apartmen, satu bangunan pejabat Gred A, sebuah hotel dan taman berbumbung seluas 4.04 hektar.

Beliau berkata, projek ini dijangka menjadi destinasi runcit terbesar dengan lokasi boleh sewa seluas kira-kira 1.3 juta kaki persegi.

“Pembangunan projek ini berjalan lancar. Bahagian taman kini dalam proses akhir untuk mendapatkan kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kami sedang memuktamadkan reka bentuk hotel dan pejabat untuk kelulusan,” katanya pada sesi taklimat bersama media di ibu pejabat Lendlease di sini, hari ini.

Walker berkata, pembinaan bangunan pejabat dijangka selesai selepas siapnya pusat beli-belah berkenaan pada lewat 2021 atau awal 2022, diikuti hotel pada pertengahan 2022.

“Bagi enam menara apartmen kediaman membabitkan 2,500 unit kediaman, ia dijangka siap secara berperingkat bermula 2023 dan ke atas, bergantung kepada prestasi jualan.

“Ketika ini kita sudah pun berurusan dengan pelbagai ejen dari dalam dan luar negara namun belum lagi mula menjualnya,” katanya.

Sementara itu, Walker berkata, dengan pelbagai inisiatif keselamatan yang ketat, pemaju antarabangsa itu sudah mencapai lima juta jam kerja selamat di tapak pembangunan The Exchange TRX yang mempunyai hampir 1,800 pekerja.

Katanya, ia adalah pencapaian penting kerana tidak ada sebarang kecederaan sejak pembinaan bermula pada pertengahan 2015.

“Bagi memastikan semua orang tidak mengalami sebarang kecederaan di tempat kerja dan pulang ke rumah dengan selamat, kami telah membina satu rangka kerja selamat iaitu Keperluan Minimum Global (GMR)

“Tidak kira anda berada di mana-mana fasa kerja, terdapat beberapa pemeriksaan keselamatan yang perlu dilakukan,” katanya.

528 dibaca
Berita Harian X