Isnin, 3 Jun 2019 | 9:27am
Shopee bukan setakat menawarkan beli-belah dalam talian tetapi juga memperkenalkan ciri permainan dan hiburan untuk mencipta pengalaman dalam talian yang lebih mengasyikkan.

Trend beli-belah menerusi telefon pintar lebih seronok, menarik

KUALA LUMPUR: Kira-kira dua dekad yang lalu, rakyat Malaysia perlu bersabar menantikan pelancaran kemudahan sambung dail bersejarah, JARING disertai dengan bunyi dial ikonik yang agak kuat sebelum berpeluang melayari alam maya.

Selepas internet dibuka untuk kegunaan komersial, orang ramai bukan sahaja boleh melayari web pada skrin komputer untuk mendapatkan maklumat tetapi juga membeli barangan dari negara lain. Berikutan itu, membeli-belah dalam talian menjadi satu realiti.

Hari ini, dengan semakin banyak telefon pintar mampu milik dan juga capaian internet yang lebih meluas, penggunaan internet mudah alih semakin meningkat di Malaysia.

Penduduk tempatan meluangkan masa purata kira-kira 6.6 jam sehari di dalam talian, dengan telefon pintar sebagai peranti paling kerap digunakan.

Memandangkan e-dagang bakal mencapai kadar pertumbuhan tahunan 20 peratus di Malaysia pada 2020, membeli-belah dalam talian juga diunjurkan berkembang maju secara seiring.

Ini jelas terbukti di Shopee, platform e-dagang terulung di Asia Tenggara dan Taiwan, yang menerima 95 peratus pesanan mudah alih pada suku pertama 2019.

Ketua Pemasaran Shopee Malaysia, Marianne Chuo, berkata oleh kerana rakyat Malaysia lebih kerap membeli-belah di dalam talian, terutamanya menggunakan telefon mudah alih, mereka sentiasa mencari pengalaman beli-belah yang lebih menyeronokkan dan menarik.

Katanya, untuk memenuhi keperluan trend ini, platform e-dagang bukan setakat menawarkan beli-belah dalam talian tetapi juga memperkenalkan ciri permainan dan hiburan untuk mencipta pengalaman dalam talian yang lebih mengasyikkan.

“Permainan-permainan lazimnya direka cipta supaya mudah dipelajari tetapi semakin sukar pada aras lebih tinggi bagi menggalakkan pengguna bermain dengan kerap, manakala ciri-ciri sosial diterapkan ke dalam permainan untuk meningkatkan interaksi dan kerjasama.

“Shopee menerajui trend ini dengan memperkenalkan ciri dan permainan baharu secara konsisten untuk terus menghiburkan pengguna mudah alih dan membawakan pengalaman sosial yang mengasyikkan.

“Baru-baru ini Shopee melancarkan Shopee Live, ciri penstriman langsung baharu di Malaysia untuk mendekatkan pengguna dengan jenama dan peruncit kegemaran mereka, lantas menambah baik model pembelian produk di mana pengguna memanfaatkan platform e-dagang untuk membeli produk,” katanya.

Beliau berkata, dengan pelbagai pilihan kandungan siaran langsung seperti panduan produk, ulasan dan demonstrasi dianjurkan oleh personaliti popular yang berpengaruh, Shopee Live membabitkan pengguna dalam seluruh pengalaman beli-belah mereka.

Katanya, ciri ini ternyata mendapat sambutan hebat di Malaysia setakat ini.

Sebagai contoh, usahawan muda berpengaruh, Tyra Kamaruzzaman melancarkan gincu terbarunya di Shopee Live dengan kejayaan besar, apabila produk terbabit habis dijual dalam masa beberapa minit dan menerima lebih 2,000 pesanan.

“Shopee Live menyusuli kejayaan Shopee Shake dan Shopee Quiz yang masing-masing dilancarkan pada 2018 dan 2019. Dalam Shopee Shake, pengguna akan menerima Shopee Coins (mata wang maya Shopee) apabila mereka menggoyang telefon mereka.

“Permainan dalam aplikasi ikonik ini dimainkan lebih empat juta kali di Malaysia sepanjang Shopee 11.11 Big Sale pada bulan November 2018,” katanya.

Chuo berkata, Shopee Quiz pula ialah permainan kuiz dalam aplikasi yang disiarkan secara langsung untuk memberikan pengalaman beli-belah dalam talian menarik dengan menawarkan pelbagai ganjaran.

133 dibaca
Berita Harian X