Sabtu, 18 Mei 2019 | 2:46pm
Pengerusi Kazakh Invest, Saparbek Tuyakbayev.

Kazakhstan pertaruhkan infrastruktur 'fizikal' tarik pelaburan

NUR-SULTAN (Kazakhstan): Kazakhstan, negara terbesar yang dilingkungi daratan di dunia, mempertaruhkan infrastruktur "fizikal" seperti lebuh raya, laluan rel dan pelabuhan untuk menarik pelabur asing.

"Cukai dan kontrak jangka panjang adalah insentif klasik yang disediakan 90 peratus negara di dunia untuk menarik pelabur asing. Namun, tarikan utama jualan kami bukannya cukai tetapi infrastruktur," kata Pengerusi Kazakh Invest, Saparbek Tuyakbayev.

Beliau berkata, Kazakhstan yang adalah negara rentas benua yang sebahagian besarnya terletak di Asia dengan sebahagian besar kawasan baratnya terletak di Eropah, menjadikan infrastruktur fizikal yang baik sebagai tarikannya.

Ia berkongsi sempadan dengan Russia, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan dan Turkmenistan dan juga bersebelahan dengan sebahagian besar Laut Caspian, yang menawarkan potensi besar kepada negara itu sebagai pusat transit.

"(Sehubungan itu) kami mula melabur dalam infrastruktur. Dalam tempoh lebih 10 tahun lalu, Kazakhstan melabur lebih AS$30 bilion (RM125 bilion) dalam infrastruktur fizikal yang akan menawarkan jaringan hubungan tanpa sempadan," katanya kepada wakil media asing pada hari akhir Forum Ekonomi Astana 2019 selama dua hari, di sini.

"Di satu hujung, kami ada infrastruktur pelabuhan di Laut Caspian dan di hujung satu lagi, sebuah pelabuhan darat di sempadan China. Secara tradisinya kami (sebagai bekas republik Soviet) mempunyai rangkaian rel yang dihubungkan dengan Russia dan merentasi negara-negara Asia Tengah," katanya.

Selain itu, katanya Kazakhstan turut menawarkan rangkaian lebuh raya yang luas.

"Maka, anda dapat lihat bahawa kami melabur banyak wang untuk menyelesaikan masalah logistik," katanya dan menurutnya ini memberikan akses tanpa sempadan kepada pelabur untuk memasuki pasaran lebih besar dengan 500 juta penduduk dengan menggunakan Kazakhstan sebagai pintu masuk.

"Kazakhstan sendiri sebuah pasaran yang kecil. Tetapi pasaran di sekelilingnya lebih besar, contohnya Russia, yang pasarannya 10 kali lebih besar daripada pasaran Kazakh," kata Tuyakbayev.

Pendekatan itu berjalan lancar untuk negara, katanya, sambil menyatakan bahawa negara itu telah menerima pelaburan kira-kira AS$300 bilion dalam tempoh 15 hingga 20 tahun lalu, terutamanya dalam minyak dan gas, diikuti sektor lain seperti logistik dan pengangkutan.

"Pada 2018 saja, jumlah pelaburan diterima adalah AS$24 bilion. Sebelum ini, pelaburan asing kebanyakannya dalam minyak dan gas tetapi pada tahun lalu lebih daripada 55 peratus pelaburan adalah di sektor lain seperti pengangkutan, pertanian dan pembuatan," katanya.

Pelabur utama di Kazakhstan ialah Belanda, Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Itali dan China.

Dengan jaringan hubungan yang dipertingkatkan, beliau percaya industri pertanian dan makanan dapat muncul sebagai pemacu utama ekonomi negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

"Sebelum ini logistik adalah sukar, kini jaringan hubungan kami lebih baik, yang bermakna kami juga boleh mengeksport produk pertanian kami ke pasaran jiran dengan lebih cepat."

Selain infrastruktur, negara itu juga menyediakan iklim pelaburan dan politik yang sangat baik, katanya.

Menurut laporan "Menjalankan Perniagaan 2019" Bank Dunia, Kazakhstan melonjak lapan tangga ke tempat ke-28 bagi kemudahan bank untuk menjalankan perniagaan.

Ia juga menyaksikan peralihan kuasa yang lancar apabila Presiden Pertama, Nursultan Nazarbayev, meletak jawatan pada 19 Mac selepas hampir 30 tahun berkuasa.

Presiden Kassym-Jomart Tokayev, yang mengambil alih jawatan untuk menghabiskan baki tempoh khidmatnya itu, baru-baru ini mengadakan pilihan raya awal pada 9 Jun.

Tuyakbayev berkata, kerajaan itu juga menubuhkan Pusat Kewangan Antarabangsa Astana (AIFC) untuk mengukuhkan lagi aliran masuk modal antarabangsa ke dalam ekonomi negara.

Zon bebas kewangan itu, secara rasmi dilancarkan tahun lalu, ditubuhkan berdasarkan amalan terbaik institusi kewangan terkemuka dunia di New York, London dan Shanghai.

Perdana Menteri Kazakhstan, Askar Mamin, berkata ekosistem kewangan dan pelaburan yang sedang dibangunkan di negara itu akan membolehkan AIFC menjadi pusat pelaburan dan kewangan serantau dan antarabangsa.

Menyedari kepentingan pelaburan untuk ekonomi, kerajaan itu juga mewujudkan majlis penyelarasan, yang akan membolehkan permasalahan yang timbul dalam aktiviti pelaburan ditangani dengan cepat, katanya pada Meja Bulat Pelaburan Global Kazakhstan. - BERNAMA

103 dibaca
Berita Harian X