Jumaat, 17 Mei 2019 | 4:39pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. NSTP/Salhani Ibrahim.

'Insentif baharu rancak pembiayaan berasaskan pasaran'

KUALA LUMPUR: Kerajaan meninjau memperkenalkan insentif baharu bagi merancakkan lagi pembangunan pembiayaan berasaskan pasaran di negara ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata sebarang insentif baharu itu hanya akan diumumkan dalam Belanjawan 2020.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan RM50 juta bagi dana pelaburan bersama (CIF) kepada pelaburan pendanaan ramai ekuiti (ECF) dan pembiayaan setara (P2P) bagi merangsang pembangunan pembiayaan berasaskan pasaran yang mana sudah menunjukkan kejayaan dalam membiayai syarikat kecil dan sederhana (PKS) dan mikro.

Katanya, CIF memadankan pelaburan daripada pelabur swasta berdasarkan asas satu kepada empat, contohnya RM1 daripada kerajaan dan RM4 daripada pelabur swasta.

“Pendanaan ramai dan P2P akan memberikan alternatif kepada peminjam dan juga membolehkan mereka menikmati kos yang rendah. Setakat ini, apa yang kita lihat mereka (pendanaan ramai) mampu menawarkan kos yang rendah.

“Apa yang kita tinjau adalah sama ada kita boleh menyediakan lebih banyak insentif kepada mereka. Ini adalah sesuatu yang kami bincangkan dalam sesi tertutup dan kami meninjau jika terdapat sebarang tawaran baharu yang akan dibentangkan dalam Belanjawan 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sidang Meja Bulat Teknologi Kewangan (Fintech) anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapan khas pada Sidang Meja Bulat Fintech itu, Guan Eng berkata, ekonomi digital memainkan peranan penting dalam perjalanan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, secara purata, ekonomi digital berkembang sembilan peratus setahun dalam nilai tambah antara 2010 hingga 2016, yang mana pertumbuhannya lebih pantas berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keseluruhan negara.

Katanya, potensi Fintech untuk merangsang pembangunan syarikat kecil sederhana (PKS) mikro diiktiraf, terutama apabila ia menyediakan akses kepada kepelbagaian pilihan pendanaan.

International Data Corporation (IDC) mengunjurkan bahawa menjelang 2022, lebih 21 peratus KDNK Malaysia akan dari pendigitalan berbanding paras semasa 18 peratus.

88 dibaca
Berita Harian X