Jumaat, 17 Mei 2019 | 2:43pm
Bank Negara Malaysia mengumumkan beberapa inisiatif untuk meningkatkan kecairan pertukaran asing (FX) dan kecairan pasaran bon.

Inisiatif BNM tingkat kecairan tindakan tepat

KUALA LUMPUR: Inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan kecairan dan kemudahan pasaran disambut baik oleh Maybank Kim Eng yang menyifatkannya sebagai langkah tepat.

“BNM mengumumkan beberapa inisiatif untuk meningkatkan kecairan pertukaran asing (FX), dan kecairan pasaran bon. Kami melihat perkembangan ini secara positif, dan melihatnya sebagai usaha untuk memperkukuh serta meluaskan pasaran dalam negeri.

“Yang penting, akses terhadap lindung nilai dinamik dalam negeri dipeluas, termasuk bank amanah dan institusi global yang lain,” kata firma penyelidikan itu dalam notanya, hari ini.

BNM berkata, ia mengambil beberapa inisiatif pembangunan untuk meningkatkan kecairan pasaran FX dan bon domestik, berkemungkinan sebagai tindak balas terhadap tindakan FTSE Russell bulan lalu, selain sejajar dengan hasrat pengawal selia itu untuk terus memperluas dan memperkukuh pasaran kewangan dalam negara.

Maybank Kim Eng berkata, pengumuman berkenaan selari dengan unjuran firma itu, bagi memberi masa yang mencukupi untuk menilai kesan ke atas kecairan pasaran menerusi langkah-langkah baharu terbabit.

“BNM tidak menarik balik dagangan ringgit di pasaran kontrak hadapan tidak diserah (NDF) luar pesisir seperti yang dijangkakan, memandangkan usaha itu tertumpu kepada pembangunan pasaran dalam negara,” katanya.

Berdasarkan inisiatif yang diumumkan itu, Maybank Kim Eng mengklasifikasikannya kepada dua kategori, iaitu langkah-langkah untuk meningkatkan kecairan pasaran bon dan untuk meningkatkan akses serta kecairan pasaran FX.

“Kami berpendapat ini adalah langkah mesra pasaran dan pengukuhan usaha BNM untuk terus memperkukuh pasaran kewangan dalam negara,” katanya.

-BERNAMA

104 dibaca
Berita Harian X