Jumaat, 17 Mei 2019 | 2:14pm
LIM Guan Eng berucap pada Fintech Roundtable. - Foto BERNAMA

Prestasi ekonomi luar jangkaan petanda positif

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi  luar jangkaan pada suku pertama 2019 adalah petanda positif untuk masa depan dan mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap negara ini, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, pertumbuhan 4.5 peratus yang dicatatkan ekonomi negara itu adalah lebih tinggi berbanding jangkaan dana kewangan antarabangsa dan tempatan, sekali gus menunjukkan ekonomi negara dalam keadaan sihat.

“Beberapa angka yang amat memberangsangkan khususnya dalam aspek pelaburan luar negera yang terus meningkat dan juga aspek pelancong asing juga meningkat.

“Kedua-dua ini adalah satu petanda baik menunjukkan bahawa pertumbuhan yang secara umumnya dijangka lebih mantap lagi pada penghujung tahun.

“Jadi, kita ada ruang dan potensi untuk buat lebih baik lagi," katanya ketika ditemui selepas meja bulat teknologi kewangan (Fintech) yang dianjurkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai prestasi ekonomi negara suku pertama yang berkembang di luar jangkaan sebanyak 4.5 peratus.

Mengulas mengenai perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China, Guan Eng berkata, Malaysia bersikap neutral dalam menangi isu berkenaan.

Beliau berkata, Malaysia mahu menjadikan negara ini sebagai lindung nilai kepada pelabur termasuk China dan AS.

247 dibaca
Berita Harian X