Jumaat, 17 Mei 2019 | 11:33am
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Syed Zaid Albar. - Foto Nik Hariff Hassan

SC keluar rangka kerja pendanaan ramai hartanah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan rangka kerja pendanaan ramai hartanah baharu bagi memudahkan penyediaan sumber pembiayaan alternatif kepada pembeli rumah pertama.

Pengerusinya, Datuk Syed Zaid Albar, berkata pengawal selia pasaran modal itu membuat pindaan Garis Panduan Pasaran Yang Diiktiraf bagi memperkenalkan keperluan baharu untuk memudahkan pendanaan ramai hartanah.

“SC menyokong idea penggunaan teknologi untuk memanfaatkan pelabur dengan mempelbagaikan akses kepada pelaburan dan pada masa sama memperluaskan pilihan pembiayaan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada meja bulat teknologi kewangan (Fintech) yang dianjurkan SC di sini, hari ini.

Berdasarkan pindaan Garis Panduan Pasaran Yang Diiktiraf, keperluan bagi penyedia platform pendanaan ramai hartanah termasuk minimum dana pemegang saham RM10 juta; kewajipan menyediakan maklumat wajar, jelas dan tepat kepada pembeli rumah dan pelabur sebelum menyertai kempen pendanaan ramai hartanah serta kepastian keluar pada akhir tempoh perjanjian.

Pada meja bulat yang turut dihadiri Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu, SC juga mengumumkan lapan penyedia pasaran diiktiraf baharu merangkumi tiga pendanaan ramai ekuiti (ECF) dan lima platform pembiayaan rakan setara (P2P).

Dengan tambahan peserta ECF dan P2P baharu itu, kini terdapat 21 pengendali platform pembiayaan berdasarkan pasaran berdaftar di Malaysia.

Setakat Mac 2019, pasaran pembiayaan ECF dan P2P menyediakan kira-kira RM350 juta pembiayaan alternatif kepada kira-kira 900 enterpris mikro, kecil dan sederhana (MSME).

Terdahulu dalam ucapan khas pada meja bulat itu, Guan Eng berkata, ekonomi digital memainkan peranan penting dalam perjalanan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, secara purata, ekonomi digital berkembang sembilan peratus dalam nilai tambah setahun antara 2010-2016.

Katanya, potensi Fintech untuk merangsang pembangunan syarikat kecil sederhana (PKS) mikro diiktiraf, terutama apabila ia menyediakan akses kepada kepelbagaian pilihan pendanaan.

53 dibaca
Berita Harian X