Jumaat, 17 Mei 2019 | 11:18am

Credit Suisse naik taraf penilaian pasaran saham Malaysia

KUALA LUMPUR: Bank pelaburan antarabangsa, Credit Suisse menaik taraf penilaian pasaran saham Malaysia daripada ‘Market Weight’ kepada ‘Overweight’.

Dalam nota Strategi Asia Pasifiknya, bank multinasional berpangkalan di Switzerland itu merumuskan penilaian pasaran saham tempatan telah meningkat, meskipun muncul sebagai pasaran yang mencatatkan prestasi paling kurang memberangsangkan di Asia setakat tahun ini.

Di samping itu, pemotongan kadar faedah yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini dijangka bukan kali terakhir, yang mana kadar sebenarnya adalah tinggi mengikut standard serantau.

“Terdapat kemungkinan rangsangan daripada (projek) infrastruktur. Perjanjian yang baru-baru ini dicapai bersama China terhadap projek-projek Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) membolehkan kerja infrastruktur diteruskan semula selepas perubahan kerajaan tahun lalu,” katanya.

Credit Suisse berkata, pemilikan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) ketika ini adalah yang terendah pasca 2011, manakala pelabur asing menjual saham tempatan setakat tahun ini, berbeza dengan pasaran lain yang menyaksikan pembelian besar-besaran dibuat.

“Penjualan bon kerajaan dilihat berpunca daripada kemungkinan Malaysia disingkirkan daripada indeks bon FTSE-Russell, namun kami melihat peluang bank pusat dapat mencari penyelesaian berhubung perkara itu dengan sekatan ke atas urus niaga ringgit luar pesisir,” katanya.

Dalam pada itu, ia berkata ringgit juga kelihatannya telah mengalami lebihan jualan, menjadikannya mata wang Asia selain Jepun (AxJ) termurah berbanding purata kadar pertukaran efektif benar (REER) 10 tahun.

“Ringgit kebiasaannya bergerak sejajar dengan minyak namun ketinggalan pada tahun ini, berkemungkinan disebabkan oleh aliran keluar portfolio. Ia boleh berbalik dengan pantas,” katanya.

307 dibaca
Berita Harian X