Jumaat, 17 Mei 2019 | 8:36am
Pengerusi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde.

Perang perdagangan tidak untungkan sesiapa - Ketua IMF

NUR SULTAN (Kazakhstan): Pengarah Urusan merangkap Pengerusi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde, mengulangi gesaan agar pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China diselesaikan dengan cara yang sewajarnya.

"Saya tidak mempunyai sebarang angka khusus membabitkan rantau ini atau mana-mana negara dalam rantau ini (yang terjejas akibat pertikaian perdagangan itu).

"Namun, apa yang boleh dikatakan adalah sebarang perang perdagangan itu akan memberi kesan kepada mereka yang terbabit atau yang tidak menyertainya," katanya pada sidang media di luar acara Forum Ekonomi Astana (AEF) 2019 di sini, semalam.

Lagarde berkata, demikian ketika diminta mengulas impak perang perdagangan AS-China ke atas Asia Tengah.

Beliau berkata, impak langsung dan tidak langsung akibat isu itu juga boleh menjejaskan keyakinan dan kestabilan yang turut dirasai semua.

"Malah, jika terus berlanjutan ini akan menimbulkan kesan ekonomi terutamanya sektor swasta dari segi menguruskan rantaian bekalan serta bagaimana mereka perlu kendalikan perniagaan.

"Tiada siapa pun yang menang dalam perang perdagangan ini dan kita semua akan rugi.

"Sudah pasti, kita berharap ketegangan yang wujud ini dapat diselesaikan menerusi cara yang wajar dan dapat memuaskan (semua pihak) selain mampu memberi manfaat kepada pihak terbabit. Pada masa sama, ia akan dapat mewujudkan satu hala tuju bagi kelangsungan perdagangan sebagai enjin utama pertumbuhan dan kemakmuran," katanya.

AEF 2019 selama dua hari bermula semalam, disertai seramai 5,492 delegasi dari 74 negara termasuk kalangan pakar, ahli politik, ahli perniagaan dan saintis.

Selain Lagarde, acara itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri China Han Zheng, Presiden Armenia Armen Sarkissian, Pengerusi Lembaga Pengarah Nokia Corporation Risto Siilasmaa dan Paul Romer yang juga Ketua Pakar Ekonomi Bank Dunia (2016-2018) dan pemenang Anugerah Nobel 2018 bagi kategori ekonomi. - BERNAMA

133 dibaca
Berita Harian X