Jumaat, 10 Mei 2019 | 4:52pm
MALAYSIA Rail Link Sdn Bhd (MRL).

MRL pelawa kontraktor tempatan sertai Pra-Kelayakan ECRL

KUALA LUMPUR: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mempelawa semua kontraktor yang berkelayakan dari seluruh negara untuk menyertai program Pra-Kelayakan (Pre-Q) subkontraktor projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan dianjurkan hujung bulan ini.

Berikutan itu, MRL menjangkakan penyertaan yang memberangsangkan dalam kalangan syarikat kejuruteraan, infrastruktur dan pembinaan seluruh negara untuk turut serta dalam projek yang merangkumi jajaran sepanjang 640 kilometer itu.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, notis pemberitahuan Pre-Q akan dikeluarkan oleh kontraktror kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) ECRL, iaitu China Communications Construction Company Ltd (CCCC) di beberapa akhbar tempatan pada 13 dan 14 Mei ini.

Katanya, Pre-Q ini bertujuan untuk memberi peluang kepada kontraktor di Malaysia yang layak untuk mengambil bahagian dalam 40 peratus kerja-kerja sivil projek ECRL.

“Program Pre-Q ini adalah terbuka kepada semua kontraktor tempatan yang berpengalaman dan memegang Gred CIDB G3 hingga G7 dengan Penilaian Kapasiti dan Keupayaan Kontraktor (Score) sekurang-kurangnya 2 Bintang.

“Dokumen-dokumen untuk Pre-Q perlu diserahkan kepada pihak CCCC di kaunter yang akan dibuka di Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC) pada 29 Mei dan 30 Mei ini.

“Kami menggesa semua kontraktor yang berkelayakan dari seluruh negara untuk menyertai Pre-Q ini dan menjadi sebahagian daripada pihak yang terbabit dalam menjayakan projek ECRL,” katanya.

MRL berkata, ini adalah peluang yang terbaik untuk kontraktor di Malaysia kerana peratusan bagi kerja-kerja sivil untuk projek ECRL telah meningkat kepada 40 peratus berbanding 30 peratus sebelum ini.

“Jawatankuasa Penilaian Pre-Q yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan MRL dan CCCC akan menilai semua penyerahan yang dibuat oleh kontraktor Malaysia dari program Pre-Q ini, sebagai usaha untuk mengenal pasti kontraktor tempatan yang layak ke fasa seterusnya dalam penyenaraian petender-petender berpotensi untuk kerja-kerja sivil pembinaan ECRL.

“Mereka akan diberi tanggungjawab untuk memastikan amalan tadbir urus dan kod etika yang tinggi semasa pra-kelayakan dan penilaian kontraktor tempatan. Hanya pemohon yang berjaya dalam Pre-Q ini akan dimaklumkan mengenai tindakan seterusnya fasa penyenaraian subkontraktor ECRL,” katanya.

MRL berkata, CCCC berhasrat untuk memberikan sub-kontrak sebahagian pakej-pakej kerja sivil yang merangkumi kerja-kerja tanah, penambahbaikan tanah, cerucuk, struktur, jalanan, dan kerja-kerja bangunan di kawasan-kawasan jajaran ECRL.

Jelasnya, peningkatan peratusan penyertaan kontraktor tempatan untuk projek ECRL yang bernilai RM44 bilion turut dilihat akan memberi impak positif kepada sektor pembinaan tempatan dan sektor bahan pembinaan selain memberi kesan yang berganda kepada ekonomi Malaysia.

“MRL dan CCCC amat optimistik dengan usaha ini kerana dengan pengetahuan dan kepakaran yang ada pada semua kontraktor Malaysia yang berpengalaman, projek ECRL dapat disiapkan pada tarikh yang ditetapkan iaitu 31 Disember 2026,” katanya.

Berita Harian X