Selasa, 7 Mei 2019 | 11:19am
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Agensi penarafan dunia yakin kedudukan ekonomi negara

PUTRAJAYA: Agensi-agensi penarafan kredit menyatakan keyakinan bahawa Malaysia mampu mencapai sasaran defisit fiskal 3.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Agensi-agensi terbabit juga berpuas hati dengan prestasi ekonomi Malaysia setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengadakan beberapa mesyuarat sampingan bersama agensi-agensi terbabit seperti S&P, Fitch dan Moody’s semasa mengetuai delegasi Malaysia ke Siri Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia di Washington, Amerika Syarikat (AS) dari 11 hingga 14 April lalu.

Perbincangan mesyuarat tahun ini bertumpu kepada isu-isu semasa yang memberi kesan terhadap

ekonomi global, sistem kewangan antarabangsa dan kemajuan agenda pembangunan global, termasuk menghapuskan kemiskinan tegar, menangani perubahan iklim serta mempromosikan perkongsian yang makmur dan terangkum.

Dalam pada itu, Guan Eng turut berkongsi pandangan berdasarkan konteks dan aspirasi Malaysia untuk menggunakan teknologi dan ekonomi digital, khususnya penerimaan teknologi 5G secara sepenuhnya, bagi melonjakkan Malaysia supaya menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Beliau juga menggariskan risiko-risiko daripada gangguan digital yang akan menyebabkan kehilangan peluang pekerjaan bagi sektor tradisional yang tidak dapat diganti dengan peluang pekerjaan sektor baharu ini.

“Malaysia tidak menerima pemusnahan kreatif atau ‘creative destruction’, dan peluang pekerjaan baharu harus dicipta melalui insentif dan bantuan pendapatan bagi menggantikan pekerjaan yang hilang akibat gangguan digital,” katanya.

Pada mesyuarat itu, Guan Eng turut mewakili Kumpulan Mengundi Asia Tenggara (SEAVG) yang dianggotai 11 negara terdiri daripada Brunei, Fiji, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Nepal, Singapura, Thailand, Tonga serta Vietnam.

SEAVG menekankan bahawa peranan Kumpulan Bank Dunia bukan saja untuk membantu menaikkan kualiti hidup negara-negara miskin, malah membangunkan model dan kaedah bagi negara ahli yang berpendapatan pertengahan mengelak dari kembali ke status berpendapatan rendah.

204 dibaca
Berita Harian X