Isnin, 6 Mei 2019 | 3:22pm
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Golden Agri-Resources Ltd, Franky Widjaja.

Rancangan EU had minyak tropika jejas petani

SINGAPURA: Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Golden Agri-Resources Ltd, Franky Widjaja memberi amaran bahawa rancangan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengehadkan penggunaan minyak tropika dalam bahan api bio akan menjejaskan petani dan masa depan bekalan minyak sayur-sayuran

Dunia memerlukan sawit selepas bekalan daripada biji minyak alternatif saja tidak cukup untuk memenuhi peningkatan permintaan bagi makanan dan bahan api, kata pemimpin syarikat yang berpangkalan di Singapura itu.

Pembeli dan pembekal berkemungkinan berkompromi untuk mencari penyelesaian kepada pertikaian itu, katanya dalam satu temubual.

“Saya percayakan karma dan saya fikir mereka akan menerima karma mereka,” kata pemimpin berusia 61 tahun itu dengan menambah had EU dalam penggunaan bahan api bio sebagai tidak bertanggungjawab kerana mengancam pendapatan 17 juta penduduk di Indonesia.

Pertikaian antara blok 28 negara dan beberapa negara membangun terkemuka di dunia meningkat tahun ini selepas Indonesia dan Malaysia, yang bersama-sama membekalkan kira-kira 85 peratus minyak sawit di dunia, memberi amaran bahawa mereka sedia bertindak balas selepas melihatnya sebagai bentuk “diskriminasi” peraturan.

Walaupun EU mengatakan kelapa sawit menjadi punca penebangan hutan dan perubahan iklim, namun negara pengeluar mengatakan dakwaan itu mengelirukan dan merugikan negara yang bergantung kepada industri berkenaan.

Eksport minyak sawit Indonesia melonjak kepada AS$17.8 bilion (RM73.8 bilion) tahun lalu dan industri itu menyumbang kira-kira 3.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Dunia memerlukan minyak sawit kerana minyak paling cekap dihasilkan di dunia ialah sawit, jadi “kenapa anda perlu mengecualikan minyak sawit dan menanam lebih banyak kacang soya untuk mendapatkan minyak yang sangat sedikit,” kata Widjaja yang menguruskan lebih 498,000 hektar tanaman kelapa sawit di Asia Tenggara.

“Pada akhirnya anda perlu berbincang selepas berbalah dan anda letih dan anda berkompromi,” kata Widjaja yang merujuk bagaimana pertikaian diselesaikan. “Semuanya seperti itu di dunia ini.”

Pengeluar minyak sawit yang digunakan sebagai minyak masak dan terkandung dalam pelbagai produk daripada gula-gula hinggalah kosmetik dan bahan api bio, terjejas dengan penurunan harga, peningkatan kos buruh dan kelestarian.

Penanda aras niaga hadapan di Kuala Lumpur susut sekitar enam peratus tahun ini, meneruskan kejatuhan lebih 30 peratus dalam tempoh dua tahun lalu.

Golden Agri melaporkan kerugian bersih sebanyak AS$1.77 juta (RM7.34 juta) pada 2018, berbanding keuntungan AS$74 juta (RM306.9 juta) tahun sebelumnya.

Widjaja menegaskan bahawa permintaan dari tenaga akan menjadi pemangkin penting dalam meningkatkan harga sawit.

Penggunaan bahan api bio di Indonesia dijangka meningkat sebanyak 50 peratus tahun ini kepada kira-kira 6 juta kiloliter, hasil dasar Presiden, Joko Widodo yang mempromosikan penggunaannya untuk menyerap lebihan bekalan, katanya.

- Bloomberg

108 dibaca
Berita Harian X