Khamis, 2 Mei 2019 | 11:36am
- Gambar hiasan

Kontrak RM4.2 bilion menanti syarikat tempatan di Bandar Malaysia

KUALA LUMPUR: Projek Bandar Malaysia yang disambung semula oleh kerajaan baru-baru ini dijangka menawarkan kerja-kerja infrastruktur bernilai antara RM2.8 bilion hingga RM4.2 bilion kepada kontraktor tempatan.

Penganalisis Kenanga Research, Adrian Ng, berkata anggaran jumlah itu adalah berdasarkan andaian yang 40 peratus daripada kerja-kerja infrastruktur projek mega itu akan ditawarkan kepada kontraktor tempatan.

Mengulas lanjut mengenai kos kerja infrastruktur itu, beliau menjelaskan kebiasaannya kos pembangunan kasar (GDC) mewakili 50 peratus daripada nilai pembangunan kasar (GDV) sesebuah projek.

“GDV bagi projek Bandar Malaysia ialah RM140 bilion seperti yang diumumkan oleh kerajaan. Ini menjadikan GDC projek ini ialah RM70 bilion.

“Andaikan nilai kerja infrastruktur mewakili di antara 10 hingga 15 peratus daripada GDC, ia menjadikan nilainya di antara RM7 bilion hingga RM10.5 bilion.

“Jika projek ini akan membabitkan 40 peratus penyertaan tempatan, maka kami percaya kontraktor tempatan berpeluang meraih kerja infrastruktur di antara RM2.8 bilion hingga RM4.2 bilion di dalam projek ini seawal akhir tahun depan,” katanya dalam satu nota.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 19 April lalu mengumumkan kerajaan akan meneruskan semula projek Bandar Malaysia dengan anggaran GDV RM140 bilion selepas ia ditangguhkan secara tiba-tiba pada Mei 2017.

Katanya, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet selepas yakin ia akan membawa kesan besar kepada pembangunan bandar bagi Malaysia selain menarik pelaburan langsung asing.

Pemaju utama projek itu IWH-CREC Sdn Bhd iaitu konsortium syarikat Malaysia dan China akan meneruskan kerja projek berkenaan.

Pengumuman itu menyaksikan industri pembinaan tempatan meraih manfaat apabila harga sebahagian besar kaunter saham pembinaan mulai melonjak selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan semula dua projek mega, Bandar Malaysia dan Rel Laluan Pantai Timur (ECRL).

Peningkatan harga saham kaunter pembinaan dan juga bahan binaan yang didahului kaunter seperti Ekovest Bhd, Iskandar Waterfront City Bhd (IWC) dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) melonjakkan indeks penanda aras sektor pembinaan di Bursa Malaysia selepas pengumuman itu.

Bandar Malaysia adalah projek pembangunan di Kuala Lumpur, seluas 197 hektar, yang akan dimajukan di lapangan terbang lama Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi, tujuh kilometer dari pusat bandar.

Bandar Malaysia dibangunkan pemaju induknya, TRX City Sdn Bhd, milik penuh Kementerian Kewangan.

Sebelum ini ia dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd, anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Disebabkan 1MDB dibebani hutang berjumlah RM42 bilion, syarikat itu membuat keputusan melupuskan 60 peratus ekuiti dalam projek Bandar Malaysia.

Pada akhir 2015, 1MDB menjual 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia kepada Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).

Berita Harian X