Isnin, 29 April 2019 | 6:52pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. - Foto Nik Hariff Hassan

Rakan strategik kereta nasional ketiga hampir dimuktamadkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan di peringkat akhir memuktamadkan pemilihan rakan strategik bagi pembangunan projek kereta nasional ketiga, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Beliau berkata, proses pemilihan kini sedang dijalankan dan perkara itu akan diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lama lagi.

"Saya tidak boleh memperincikan mengenai perkara itu kerana ia akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri. Tunggu dan lihat," katanya ketika ditemui selepas acara Sesi Interaktif bersama Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), di sini, hari ini.

Mohd Redzuan berkata, beberapa pelabur swasta dan 145 vendor tempatan menunjukkan minat sangat tinggi bagi projek berkenaan.

"Malaysia memiliki banyak kepakaran terutama pembinaan kereta. Oleh itu kita akan menggunakan kepakaran yang sedia ada," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan belum memutuskan konsep kereta nasional ketiga yang akan dibangunkan sehingga perbincangan mengenainya selesai dimuktamadkan.

"Kita masih terbuka untuk menerima cadangan konsep kereta itu. Ia boleh jadi kereta hibrid, elektrik atau sebagainya. Ia boleh jadi apa-apa saja.

"Bagaimanapun, kerajaan masih kekal dengan keputusan untuk tidak terbabit dengan pembiayaan dana bagi projek itu. Ia akan dipacu oleh sektor swasta kerana kita tidak mahu timbul sebarang masalah sehingga terpaksa menanggung beban," katanya.

Sementara itu, katanya, kementerian juga kini sedang mengumpul maklum balas daripada rakyat bagi menyiapkan Rangka Kerja Keusahawanan Nasional (NEF).

"Polisi penuh mengenai rangka kerja itu dijangka akan dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini," katanya.

NEF turut memberi penekanan mewujudkan sumber alternatif kewangan kepada ekosistem keusahawanan.

192 dibaca
Berita Harian X