Ahad, 28 April 2019 | 5:29pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking. - Foto Supian Ahmad

Kerjasama baharu ECRL, Huawei bukti ketelusan rundingan BRI

KUALA LUMPUR: Keputusan Malaysia menyambung semula projek berbilion ringgit Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan kerjasama gergasi teknologi telekomunikasi, Huawei menjadi bukti kepada minat Malaysia terhadap China dalam menjalinkan hubungan dagangan adil dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Bercakap dalam temubual eksklusif dengan South China Morning Post di Beijing, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, berkata permintaan kerajaan untuk mengkaji semula harga ECRL selepas menguasai pentadbiran negara sebelum ini pernah diputar belit sebagai isyarat kebencian terhadap rancangan China untuk melonjakkan dagangan global menerusi Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Bagaimanapun, katanya, perkembangan baharu rundingan antara kedua-dua negara untuk mengurangkan satu pertiga kos ECRL dan kunjungan Perdana Menteri Malaysia ke ibu pejabat Huawei memberikan mesej jelas hubungan rapat antara kedua-dua negara.

“Ia bertentangan dengan mana-mana pihak yang cuba menafikan hasrat baik kami. Kini kami membuktikannya dan China juga memberikan mesej jelas hubungan kedua-dua negara masih rapat, termasuk bagi kerajaan dan sektor swasta kami.

“Bahkan pengurangan RM21.5 bilion kos ECRL daripada rundingan asal memberikan isyarat kesediaan projek BRI melaksanakan ketelusan, yang tidak wajar berlaku salah guna kuasa, sengaja menaikkan harga dan tidak sesekali cuba merosakkan ekonomi (kedua-dua negara).

“Kini terdapat banyak tuduhan liar daripada orang luar yang mendakwa tiada ketelusan (dalam rundingan kewangan projek BRI). Namun Malaysia-China sudah membuktikan ketelusan dalam rundingan terbaharu ECRL yang seharusnya dilaksanakan lebih awal dalam rundingan terdahulu,” katanya dalam temubual itu.

Darell adalah sebahagian daripada delegasi Malaysia ke Second Belt and Road Forum for International Cooperation (BRF Ke-2) yang diadakan di Beijing, China bermula 24 April lalu dan berakhir hari ini, diketuai oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kehadiran delegasi Malaysia ke forum berkenaan menjadi tumpuan selepas kerajaan mengumumkan keputusan menyambung semula projek ECRL dengan kos RM44 bilion, lebih rendah berbanding RM65.5 bilion sebelumnya.

Mengulas sokongan Malaysia kepada Huawei ketika syarikat itu terpalit pelbagai tuduhan Amerika Syarikat (AS) terhadap teknologinya yang berisiko menjadi intipan Beijing, Darell menegaskan, Malaysia tidak sama seperti AS yang memiliki kebimbangan keterlaluan terhadap keselamatan nasionalnya.

Katanya, setakat ini, Huawei sudah menunjukkan keterbukaan dan sikap profesional mereka yang tidak memaksa kerajaan.

“Tidak timbul sebarang isu berkaitan keselamatan nasional terhadap Malaysia. Itu adalah serangan tuduhan AS kepada Huawei, mereka mungkin tahu sesuatu yang kami tidak ketahui.

“Namun apabila kita memiliki rakan yang tidak memaksa, ia memberikan isyarat yang mereka memahami kebimbangan sekuriti kami dan kami juga mengetahui keperluan sekuriti kami.

“Bagaimanapun, syarikat itu perlu mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan Malaysia sekiranya mereka mahu turut sama menyertai persaingan 5G di negara ini,” katanya.

538 dibaca
Berita Harian X