Jumaat, 26 April 2019 | 6:52pm
LIM Guan Eng (dua dari kanan) melawat pameran hartanah selepas Majlis Perasmian HOC-MAPEX 2019, di Mid Valley, Kuala Lumpur. Turut kelihatan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur HOC-MAPEX, Datuk Ng Seing Liong (kanan) dan Soam Heng Choon (tengah). - Foto Rosela Ismail

REHDA yakin lebih banyak rumah terjual

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) yakin lebih banyak unit kediaman akan terjual menerusi Kempen Pemilikan Rumah (HOC) apabila setakat ini sebanyak RM9.2 bilion projek membabitkan 13,000 unit kediaman berjaya didaftarkan di bawah kempen berkenaan.  

Presiden REHDA, Datuk Soam Heng Choon, berkata pihaknya yakin penganjuran Kempen Pemilikan Rumah-Ekspo Hartanah Malaysia 2019 (HOC-MAPEX) pada 26 hingga 28 April ini juga akan menyumbang kepada peningkatan unit kediaman dijual.  

“REHDA optimis sasaran jualan sebanyak RM3 bilion yang ditetapkan sepanjang HOC berlangsung dari Januari hingga Jun ini dapat dicapai.  

“Kita berharap daripada RM9.2 bilion yang direkodkan ini lebih banyak pinjaman pembeli akan diluluskan.  

“Malah, bagi pihak REHDA pula disamping penawaran 10 peratus diskaun oleh pemaju, kami turut menawarkan rebat tunai berjumlah RM100,000 kepada 50 pembeli terawal," katanya kepada media selepas pelancaran HOC-MAPEX 2019 di sini, hari ini.

  

Ekspo tiga hari itu dirasmikan oleh Menteri  Kewangan, Lim Guan Eng.  

Sempena HOC-MAPEX 2019, sebanyak 72 pemaju hartanah swasta akan mempamerkan pembangunan hartanah masing-masing yang bukan saja terletak di sekitar Lembah Klang malah di seluruh negara seperti Johor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Pulau Pinang. 

Ekspo ini juga menyaksikan pembabitan tujuh institusi kewangan termasuk Maybank, CIMB Bank, Hong Leong Investment Bank, Public Bank, RHB Bank dan United Overseas Bank yang menyediakan serta menawarkan pinjaman perumahan kepada bakal pembeli.  

Selain pemaju dan institusi kewangan, terdapat penyertaan agensi kerajaan seperti Kementerian Wilayah Persekutuan melalui RUMAWIP, Lembaga Perumahan Hartanah Selangor, Jabatan Perumahan Negara, Tribunal Pengurusan Perumahan dan Strata, Lembaga Pembiayaan Rumah Sektor Awam, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sementara itu, Heng Choon berkata REHDA menerusi anak syarikatnya, GreenRE iaitu badan pensijilan yang mengiktiraf indeks bangunan hijau di Malaysia akan memperkenalkan inisiatif khas bagi rumah mampu milik.

“GreenRE bersetuju memberikan diskaun sebanyak 50 peratus untuk fi penilaian bagi projek rumah mampu milik di seluruh Malaysia,” katanya.

102 dibaca
Berita Harian X