Khamis, 25 April 2019 | 6:20pm

Pasaran bon Malaysia kekal berdaya tahan

KUALA LUMPUR: Agensi penarafan kredit, RAM Rating Services Bhd, menjangkakan pasaran bon Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan risiko dikeluarkan daripada Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) oleh penyedia indeks global, FTSE Russell, berikutan kebimbangan mengenai kedudukan mudah tunai di pasaran.

Ketua Analisis Data, Julie Ng, berkata jangkaan itu berdasarkan faktor termasuk asas korporat yang kukuh, penyertaan asing yang rendah dalam pasaran bon korporat serta mudah tunai mencukupi dalam pasaran.

“Asas korporat masih amat kukuh dari segi tahap kewangan selain kemampuan mereka membayar hutang juga begitu munasabah dan berdaya tahan.

“Oleh sebab itu, walaupun dikeluarkan daripada indeks berkenaan oleh FTSE Rusell, saya berpandangan ia tidak banyak memberi kesan kepada hutang korporat,” katanya kepada Bernama di luar majlis anugerah dan persidangan RAM League 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata penyertaan asing dalam pasaran bon korporat juga adalah amat kecil pada angka tunggal.

“Malah sekiranya mereka keluar daripada pasaran, tindakan itu masih tidak menjejaskan hasil bon korporat, dengan demikian saya berpendapat pasaran bon korporat berkeadaan baik,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia turut memiliki kecukupan mudah tunai dalam pasaran di samping pelabur tempatan yang berkemampuan menyertainya andai pelabur asing memilih untuk keluar daripada pasaran bon korporat.

“Pelabur seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan beberapa firma insurans mempunyai dana dalam jumlah yang besar dan penampan mencukupi untuk menyertai pasaran ini dan membeli bon yang ditawarkan,” katanya.

Sementara itu, Ng berkata terbitan bon di Malaysia tahun ini dijangka mencecah RM100 bilion, disokong oleh keputusan penyambungan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia.

“Mulanya, pihak kami berpandangan ia berkurangan kepada sekitar RM70 bilion hingga RM80 bilion memandangkan rasionalisasi kerajaan serta lanjutan dan kelewatan projek seperti Transit Aliran Ringan 3. Jadi, kami berpendapat terbitan bon tahun ini tidak dapat mencapai nilai sama yang dicatatkan tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata penyambungan semula projek ECRL dan Bandar Malaysia dapat memacu permintaan terhadap syarikat pembinaan.

Beliau berkata, sekiranya Bank Negara Malaysia bertindak mengurangkan kadar dasar semalaman yang akan menggalakkan lebih banyak terbitan dan menetapkan kadar pembiayaan yang lebih rendah, ini sekali gus dapat melonjakkan lagi pasaran bon.

Minggu lalu, FTSE Russel mengumumkan akan menyemak semula tahap aksesibiliti pasaran Malaysia dalam WGBI disebabkan kebimbangan mengenai mudah tunai pasaran.

Nilai terbitan bon di Malaysia tahun lalu berjumlah RM105 bilion dan pasaran bon negara secara keseluruhannya bernilai RM1.4 trilion.

-BERNAMA

74 dibaca
Berita Harian X