Selasa, 16 April 2019 | 6:23pm
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming semasa sidang akhbar pada forum “Perdana Menteri meninjau semula China: Harapan dan Peluang” di Menara MITI. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Model usaha sama ECRL boleh jadi ikutan negara lain

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan model usaha sama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) antara syarikat Malaysia dan China boleh menjadi pilihan model pembiayaan negara lain bagi melaksanakan projek di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, berkata kebanyakan projek infrastruktur sebelum ini dilaksanakan menerusi projek turnkey, yang mana isu kemapanan kewangan tidak menjadi keutamaan kontraktor model sedemikian.

Beliau berkata, melalui model usaha sama antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company (CCCC) susulan termeterainya Perjanjian Tambahan (SA) ECRL baru-baru ini, tidak akan ada kontraktor turnkey.

Sebaliknya, dengan usaha sama itu, beliau berkata kedua-dua syarikat bertanggungjawab dalam operasi dengan memastikan kemapanan kewangan jangka panjang projek berkenaan.

"Ini adalah sumbangan Malaysia terhadap model pembiayaan projek BRI. Saya rasa ramai orang akan melihat kepada model ini bagi projek lain," katanya pada forum bertajuk "PM Revisits China: Expectation & Opportunities" anjuran Dewan Perdagangan Malaysia-China di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada "Belt and Road Forum" yang diadakan pada 25 hingga 26 April ini di Beijing, Kian Ming berkata, kehadiran Perdana Menteri menjadi petunjuk kukuh terhadap komitmen Malaysia kepada pelaksanaan projek BRI.

Beliau berkata, kejayaan rundingan semula projek ECRL boleh menjadi contoh kepada negara lain bahawa  Malaysia tidak menentang projek yang disokong China, sebaliknya langkah rundingan semula itu adalah membabitkan pelarasan dan perhalusan dasar.

"Dengan muktamadnya rundingan semula projek ECRL, akan terdapat banyak syarikat China berminat untuk berhubung dengan Perdana Menteri," katanya.

Mengenai sama ada China akan mengimport lebih banyak minyak sawit dari Malaysia ekoran pelaksanaan semula ECRL, Kian Ming berkata, beliau percaya perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat dua hala Malaysia-China sempena lawatan Perdana Menteri ke negara itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Perdana Menteri semalam mengumumkan penubuhan syarikat usaha sama antara MRL-CCCC untuk mengurus, mengendali dan menyelenggara rangkaian rel ECRL susulan pelaksanaan semula projek itu dengan termeterainya SA antara kedua-dua syarikat pada 12 April lalu.

Projek ECRL dilaksanakan semula pada kos dikurangkan kepada RM44 bilion, yang mana ia adalah penjimatan RM21.5 bilion atau 32.8 peratus daripada kos asal sebanyak RM65.5 bilion.

269 dibaca
Berita Harian X