Isnin, 15 April 2019 | 2:21pm

Kerja pembinaan ECRL dijangka bermula seawal Mei - CEO MRL

KUALA LUMPUR: Kerja pembinaan semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka bermula paling awal Mei ini, demikian mengikut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Projek ECRL kini, katanya, akan membabitkan dua fasa berbanding sebelum ini dalam tiga fasa.

Beliau menjelaskan dengan laluan yang kini berubah ke selatan dari Mentakab, Pahang ke Jelebu, Negeri Sembilan, makan akan ada satu terowong akan dibina di Jelebu sepanjang tujuh kilometer.

"Kami jangka pembinaan akan mula secepat mungkin bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan. Kami meninjau paling awal Mei tahun ini," katanya ketika ditemui selepas sidang media pengumuman oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara CCCC dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd pada 12 April lalu, di sini, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan SA itu meliputi Fasa Satu dan 2 kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian ECRL pada harga yang dikurangkan kepada RM44 bilion.

Ini adalah penjimatan RM21.5 bilion atau 32.8 peratus daripada kos asal sebanyak RM65.5 bilion.

Dr Mahathir berkata, ECRL kini menelan belanja RM68.7 juta setiap kilometer berbanding RM95.5 juta setiap kilometer daripada perjanjian asal.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pembiayaan, Darwis berkata, pihaknya masih berunding berkenaan termanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia akan mempunyai struktur yang sama yang mana 85 peratus oleh China Exim Bank dan bakinya daripada dana tempatan.

Mengenai kadar faedah, Darwis berkata, setakat ini, kadar faedah masih sama seperti perjanjian sebelum ini iaitu 3.25 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sedang berunding mengenai terma lain seperti  moratorium tempoh kos pembinaan berubah daripada 2024 kepada 2026.

Jarak keseluruhan ECRL ialah 640 kilometer dengan 20 stesen melalui Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Ia dijangka siap Disember 2026 dan tempoh perjalanan dijangka kira-kira empat jam dari Kota Bharu ke Putrajaya berbanding tujuh jam menggunakan jalan raya.

739 dibaca
Berita Harian X