Isnin, 15 April 2019 | 1:48pm
Dr Mahathir pada sidang media berkaitan projek ECRL di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia ambil peluang minta China beli sawit - PM

KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengambil peluang dari pelaksanaan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk mencadangkan China meningkatkan pembelian minyak sawit negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Malaysia mengambil kesempatan dengan termeterainya Perjanjian Tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) berkenaan ECRL untuk berunding pembelian tambahan minyak sawit oleh China.

"Ia bukan secara langsung berkaitan (dengan perjanjian tambahan ECRL). Namun begitu kita mengambil kesempatan perjanjian untuk mencadangkan pembelian minyak sawit oleh China. Ini akan berlaku," katanya bagi mengulas sama ada perjanjian baharu mengenai ECRL itu membabitkan pertukaran mengenai pembelian minyak sawit oleh China di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan pelaksanaan semula projek ECRL pada kos RM44 bilion.

Kerja pembinaan semula ECRL dijangka bermula Mei ini dan dijangka siap Disember 2026.


China ialah pembeli minyak sawit Malaysia kedua terbesar selepas Kesatuan Eropah (EU). - Arkib NSTP

Pada tahun lalu, Malaysia mengeksport 3.07 juta tan minyak dan produk sawit bernilai RM8.38 bilion ke China.

Ia adalah peningkatan sebanyak 7.3 peratus berbanding dengan 2.86 juta tan bernilai RM9.39 bilion pada 2017.

China ialah pembeli minyak sawit Malaysia kedua terbesar selepas Kesatuan Eropah (EU) dan negara itu dijangka menjadi pengimport terbesar produk utama dalam masa dua tahun.

Peningkatan import oleh China pada tahun lalu adalah berikutan pertambahan belian biodiesel sawit Malaysia iaitu daripada 140 tan (RM5.0 juta) pada 2017 kepada 41,450 tan (RM113 juta).

Peningkatan import sawit oleh China terutamanya ketika pertengahan 2018 juga didorong situasi ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

2017 dibaca
Berita Harian X