Jumaat, 12 April 2019 | 5:29pm
Kok Liang (kiri) majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Peraduan Pembeli Matta Fair Mac 2019 di PWTC, hari ini. - NSTP/Amirudin Sahib

Matta Fair jenama pelancongan yang semakin kukuh

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyifatkan Pameran Matta Fair kini menjadi jenama yang semakin kukuh di pasaran pelancongan negara ini berikutan pelbagai produk dan pakej tambah nilai dan destinasi baharu ditawarkan kepada orang ramai.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata acara itu kini menjadi antara acara paling ditunggu oleh semua peserta dalam industri pelancongan negara bagi memberi tawaran terbaik kepada orang ramai.

“Kami akan terus menggalakkan semua pemamer merangka aturcara atau pakej pelancongan yang segar dan baru pada harga munasabah bagi menjadikan acara ini sebagai jenama acara yang paling dinantikan pada setiap tahun,” katanya pada media selepas penyampaian hadiah kepada pemenang Peraduan Pembeli Matta Fair Mac 2019 di sini, hari ini.

Acara dwitahunan itu berjaya menarik 113,685 pelawat bagi edisi Mac 2019 dengan nilai jualan keseluruhan RM220 juta berbanding 93,084 pelawat dan jualan RM210 juta pada edisi September 2018.

Beliau berkata, peningkatan kedua-dua aspek itu dipacu melalui tawaran pakej tambah nilai dan destinasi terbaik pada harga munasabah serta menarik.

“Selain itu, pengenalan banyak destinasi baharu seperti Amerika Syarikat, Vietnam, Zhuhai dan Hong Kong serta bandar kedua di China jelas menarik kunjungan orang ramai ke acara ini ditambah Mac adalah bulan bagi kebanyakan individu untuk mula merancang percutian masing-masing,” katanya.

Sementara itu, MATTA mengumumkan pemenang Peraduan Pembeli Matta Fair Mac 2019 yang menyaksikan mereka memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk hadiah utama berupa dua tiket pergi balik dari Kuala Lumpur ke London yang disumbangkan oleh Malaysia Airlines.

Selain itu, terdapat hadiah seperti lebih 35 tiket pergi balik ke destinasi antarabangsa sumbangan pelbagai syarikat penerbangan, lima percutian cruise Quantum of The Seas, pakej percutian dan penginapan hotel.

Berita Harian X