Jumaat, 12 April 2019 | 3:59pm

ECRL diteruskan dengan landasan berkembar, kos kurang RM21.5 bilion

BEIJING: Projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion, berkurangan RM21.5 bilion daripada nilai asal RM65.5 bilion, demikian mengikut Utusan Khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin.

Dalam satu sidang media khas di sini, Daim berkata, China dan Malaysia bersetuju untuk meneruskan projek kontroversi itu dengan formasi landasan berkembar, namun jarak jajaran sepanjang 688 kilometer (km) itu dikurangkan 40 km kepada 648 km.

“Kos juga dikurangkan daripada RM98 juta per km kepada RM68 juta per km dan terdapat beberapa hentian tidak dapat diteruskan antaranya Gombak.

“Laluan ECRL akan bermula dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang,” katanya kepada media Malaysia di Kedutaan Malaysia di Beijing, hari ini.

Malaysia-China memeterai perjanjian tambahan (Supplementary Agreement) mengenai ECRL di sini pada jam 11 pagi waktu tempatan.

Malaysia diwakili pemilik syarikat berkenaan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China diwakili China Communications Construction Ltd (CCCC), kontraktor utama projek mega berkenaan.

Daim, yang juga bekas Menteri Kewangan, menjelaskan ia bukanlah perjanjian atau kontrak baharu tetapi perjanjian yang ditambah baik.

“Kita (Malaysia) bekerja keras sejak Julai untuk memuktamadkan perkara ini. Projek ini dibuat oleh kerajaan terdahulu. Bila nak berunding semula bukan senang. Dari segi undang-undang dan sebagainya banyak yang perlu dibincangkan. Dan hari ini Alhamdulillah, kita berjaya capai kata sepakat,” katanya.

Mengulas lanjut, Daim berkata, kos baharu bernilai RM44 bilion ini memudahkan kerajaan untuk menguruskan pinjaman malah ia dapat mengurangkan beban faedah yang perlu dibayar.

“Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai kaedah pembayaran akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual akan mengadakan sidang media pada jam 11 pagi Isnin ini di Kuala Lumpur untuk mengumumkan butiran lanjut mengenai ECRL.

Mengenai perjumpaan awal pagi tadi, Daim berkata, perbincangan hanya berkisar mengenai ECRL dan tidak menyentuh perkara lain termasuk isu minyak sawit.

“Saya ditugaskan ke sini untuk memuktamadkan perkara mengenai ECRL, perkara lain itu kena tanya Perdana Menteri sendirilah,” katanya.

Dalam pada itu, Daim berkata, kemajuan yang dicapai pada hari ini akan menjadikan hubungan perdagangan antara China dan Malaysia lebih akrab malah mampu membawa masuk lebih ramai pelabur China ke negara ini.

“Perjanjian baharu ini mencerminkan komitmen Malaysia dan beri kepercayaan yang lebih untuk pelabur China datang ke Malaysia. Saya percaya selepas ini, akan lebih banyak aktiviti ekonomi dijana antara kedua-dua negara,” katanya.

Projek ECRL sebelum ini diluluskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Oktober 2016 membabitkan kos sebanyak RM65.5 bilion.

Kos itu kemudian dikatakan boleh mencecah RM130 bilion dengan mengambil kira faedah ditanggung daripada pinjaman pembiayaan projek berkenaan.

Projek itu pada awalnya dirancang bagi menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Pengkalan Kubur, Kelantan dan dijangka siap menjelang 2024.

ECRL adalah projek penting bagi China kerana dengan menggunakan laluan Pelabuhan Kuantan-ECRL-Pelabuhan Klang, jarak dan masa dagangan antara China dan Semenanjung Malaysia dapat dipendekkan dan tidak lagi perlu menggunakan Pelabuhan Singapura.

3923 dibaca
Projek ECRL akan diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion, berkurangan RM21.5 bilion daripada nilai asal RM65.5 bilion. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X