Khamis, 4 April 2019 | 2:34pm
SK Telecom merancang melancarkan 5G di Korea Selatan pada Jumaat menerusi telefon pintar Samsung Galaxy S10 baharu berkeupayaan 5G. - Foto AFP

Korea, AS lancar perkhidmatan 5G lebih awal

SEOUL: Tiga penyedia perkhidmatan telekomunikasi mudah alih Korea Selatan dan syarikat telekomunikasi terkemuka Amerika Syarikat (AS), Verizon Communications, membuat pelancaran komersil perkhidmatan 5G pada Rabu, lebih awal daripada yang dijadualkan, dengan mana masing-masing berlumba-lumba menguasai kedudukan teratas dalam perlumbaan memperkenalkan teknologi tanpa wayar terkini itu.

SK Telecom dan dua syarikat yang lebih kecil pada mulanya merancang melancarkan 5G di Korea Selatan pada Jumaat menerusi telefon pintar Samsung Galaxy S10 baharu berkeupayaan 5G.

Verizon pula pada awalnya dijangka melancarkan teknologi itu di Chicago dan Minneapolis pada 11 April dan bulan lalu berkata pelanggan boleh menggunakan 5G pada Motorola Z3 dan "Moto Mod", lampiran magnet fizikal bagi telefon itu.

Negara termasuk Korea Selatan, AS, China dan Jepun berlumba-lumba memasarkan 5G, dengan harapan teknologi itu akan merangsang kejayaan dalam bidang seperti bandar pintar dan kereta autonomi.

Teknologi itu boleh menawarkan kelajuan data 20 kali lebih pantas berbanding rangkaian evolusi jangka panjang (LTE) 4G dan menyokong kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya dengan lebih baik.

Ia juga berkemampuan menawarkan kelajuan 100 kali lebih cepat.

Korea Selatan mendakwa ia negara pertama melancarkan perkhidmatan 5G, tetapi dipertikaikan AS yang mengatakan mereka melancarkan 5G dalam kawasan terhad seawal tahun lalu.

Syarikat telekomunikasi AS, AT&T Inc, berkata ia adalah yang pertama melancarkan rangkaian 5G "komersial dan berasaskan standard" pada Disember 2018.

Bagaimanapun, perkhidmatan itu hanya tersedia untuk peranti mudah alih di kawasan terhad atau ‘hotspot’ tetapi belum lagi pada telefon.

Jurucakap SK Telecom, Irene Kim memberitahu Reuters bahawa syarikat itu mengadakan perbincangan dalaman dan memutuskan untuk melancarkan perkhidmatan 5G lebih awal ketika mana rangkaian dan pelanggan syarikat sudah pun bersedia.

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi Korea Selatan mula menawarkan perkhidmatan 5G pada Rabu jam 11 malam waktu tempatan (1400 GMT). - Reuters

87 dibaca
Berita Harian X