Selasa, 2 April 2019 | 6:59am
SEKTOR pelancongan mempunyai potensi besar dalam penggunaan e-wallet apabila membuat transaksi termasuk tempahan bilik dan pakej percutian. - Foto hiasan

Dompet digital jana pendapatan sektor pelancongan negara

Tidak dinafikan berlaku evolusi industri ke arah teknologi digital yang membawa perubahan paradigma dalam dunia teknologi termasuk industri perkhidmatan pembayaran global.

Sememangnya teknologi digital sudah mengubah cara hidup kita. Satu trend yang memberikan impak yang besar di Malaysia ketika ini pastinya e-wallet atau dompet digital.

Ini adalah satu perkembangan menarik dan penting berdasarkan potensinya yang amat cerah.

Bagaimana pengguna boleh membuat pertukaran wang, membayar produk dan perkhidmatan, baik di luar talian atau dalam talian membabitkan pelbagai urusan dan sektor termasuk pelancongan.

Seperti bidang-bidang perniagaan lain, pelancongan juga tidak dapat lari daripada terkesan dengan perkembangan teknologi digital. Kewujudan platform tempahan penginapan seperti Airbnb, Trivago, Agoda, Expedia, platform perkongsian dan platform khidmat pelancongan sudah mengubah senario industri pelancongan.

Malah untuk mencari penerbangan murah dan menempah tiket penerbangan pengguna menggunakan platform digital kerana ia memudahkan dan kita boleh membuat perbandingan harga. Dengan penggunaan telefon pintar yang tinggi dan penggunaan data mudah alih di Malaysia memberikan asas kukuh untuk e-wallet bergerak dan berkembang pesat.

Berdasarkan kaji selidik firma Pew Research Centre baru-baru ini, Malaysia adalah antara negara mencatatkan jumlah penduduk yang memiliki telefon pintar tertinggi apabila menduduki tempat ke-10 dalam ranking dunia.

Pengguna e-wallet akan terus meningkat apabila didorong oleh peningkatan populariti beli-belah atas talian berasaskan aplikasi, perkhidmatan e-hailing, permainan dalam talian dan e-dagang. Ini pastinya dapat merancakkan industri pelancongan.

Pelbagai kajian dibuat berkaitan e-wallet. Contohnya, kajian dari PWC Malaysia melaporkan Malaysia menunjukkan peningkatan dalam industri e-wallet. Tahun 2018 adalah tahun pertumbuhan landskap pembayaran digital dengan kemunculan lebih daripada 40 pemain e-wallet di Malaysia. Terdapat 28 pada 2016.

Gelombang digital ini bukanlah kecil kerana inisiatif pengawal selia dan menjurus ke arah masyarakat tanpa tunai. Melangkah ke hadapan, pasaran e-wallet bersedia untuk menyaksikan pertumbuhan yang kuat dan dapat menyokong fungsi yang lebih canggih seperti pengiriman wang, e-pembayaran dan kod QR yang dikongsi.

Tambahan pula, pemain industri menganggap Malaysia sebagai pasaran utama yang memberikan demografi yang berpotensi dan berpeluang cerah untuk memacu penggunaan e-wallet.

Melancong adalah salah satu kegemaran rakyat Malaysia dan suasana ini dapat dilihat di mana-mana saja tidak kira sama ada melancong dalam negara mahupun luar negara. Maka tidak hairanlah setiap kali pesta pelancongan diadakan misalnya Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2019 di Kuala Lumpur, baru-baru ini menyaksikan kunjungan lebih 100,000 orang mencari pakej menarik yang ditawarkan.

Syarikat atau operator pelancongan pula berlumba-lumba memperkenalkan pakej sama ada di dalam dan luar negara pada harga yang menarik. Bukan setakat itu, rakyat Malaysia boleh melancong tanpa visa ke 160 negara di seluruh dunia. Namun ia tidak menghalang untuk segelintir rakyat negara ini untuk ke negara yang memerlukan visa.

Trip pelancongan antarabangsa membabitkan rakyat Malaysia pada 2016 ialah 11.9 juta dan dijangka berkembang pada kadar purata 3.5 peratus setiap tahun mencecah dan dijangka mencecah 14.2 juta trip menjelang 2021.

Kira-kira 46.1 peratus pelancongan ke luar membabitkan rakyat Malaysia ialah mereka yang memiliki pendapatan isi rumah lebih AS$30,000 (RM132,820) setahun pada 2016 iaitu pendapatan purata yang mewakili 24.4 peratus keseluruhan isi rumah. Namun demikian di manakah Malaysia dalam teknologi e-wallet dalam sektor pelancongan ini? Dalam sektor penginapan contohnya, hanya terdapat 30,000 pemilik hartanah yang mendaftarkan hartanah mereka untuk disewa pelancong di pelbagai platform seperti Airbnb, Booking.com, Agoda dan sebagainya.

Berbanding dengan Sepanyol, terdapat 500,000 hartanah yang boleh disewa melalui pelbagai platform pelancongan manakala di Australia, dalam platform Airbnb saja, terdapat 80,000 hartanah yang boleh disewa. Ini tidak termasuk platform lain. Jelas daripada perangkaan ini, negara kita masih ketinggalan. Dengan e-wallet, segala perancangan perjalanan akan menjadi lebih mudah. Seorang pengembara tidak perlu mencari pengurup wang asing untuk menukar duit dan tidak perlu pergi ke mesin juruwang automatik (ATM) untuk tujuan ini.

Sehubungan itu, trend pelancong Malaysia tidak mahu membawa terlalu banyak mata wang asing ke luar negara di atas sebab keselamatan. Jika kita pergi ke India atau Indonesia, anda tidak boleh membawa wang tunai yang besar, dan sebahagian besar kedai di India dan Indonesia, sudah pun dipasang terminal visa yang membolehkan anda membuat transaksi.

Sesetengah negara mempunyai peraturan yang ketat. Contohnya terdapat sekatan tidak membenarkan pelawat dan pelancong membawa masuk atau keluar sebarang denominasi mata wang India. Ini mendorong pelancong Malaysia menggunakan e-wallet.

Trend global sememangnya menuju ke arah masyarakat tanpa tunai pada masa akan datang. Di negara seperti Sweden, Belgium dan Korea Selatan, revolusi tanpa tunai ini berlaku dengan cepat.

Sweden sebagai contoh, adalah salah satu negara yang paling aktif dengan transaksi tanpa tunai di dunia. Pada 2016, hampir 1 peratus daripada nilai semua bayaran di Sweden dibayar dalam syiling dan wang kertas. Bank Pusat Sweden, Riksbank, meramalkan bahawa urus niaga tunai akan membentuk kurang daripada 0.5 peratus daripada nilai semua bayaran yang dibuat di negara ini pada tahun 2020.

Korea Selatan pula menyasarkan untuk menjadi negara tanpa tunai sepenuhnya pada tahun 2020. KIni 80 peratus daripada jumlah transaksi yang didaftarkan di Korea Selatan dibuat dengan cara pembayaran elektronik. Selain itu, daripada 20 ekonomi di dunia, China sudah mengalami pertumbuhan tertinggi dalam pembayaran tanpa tunai bagi tempoh lima tahun yang lalu.

Sebahagian besar rakyatnya menggunakan dua sistem, AliPay dan WeChat Pay (dibina oleh gergasi Asia, Alibaba dan Tencent) dan mengimbas kod QR untuk membayar hampir apa saja.

Jerman juga adalah salah satu negara yang mahu mengurangkan atau sama sekali menghapuskan keperluan pembayaran tunai. Bagaimanapun satu kaji selidik baru-baru ini menunjukkan bahawa hanya 25 peratus pengguna mempercayai pembayaran elektronik dan lebih suka berpegang kepada wang tunai.

Tidak dapat disangkal lagi, teknologi baharu sedikit sebanyak menyingkirkan penggunaan syiling dan wang kertas di seluruh dunia. Banyak perkembangan baharu yang sudah berlaku pada akhir-akhir ini. Walaupun kadar peralihan berbeza dari negara ke negara, terdapat beberapa tanda bahawa kita dengan cepat bergerak menuju ke arah masyarakat tanpa tunai.

Masyarakat tanpa tunai bukan idea yang baharu. Ia secara amnya dipegang sebagai contoh kemajuan yang positif, dengan beberapa nama yang paling berpengaruh dalam ekonomi global yang menunjukkan manfaatnya yang berpotensi.

Penulis ialah Pengarah Urusan dan Pengasas Merchantrade Asia Sdn Bhd

299 dibaca
Berita Harian X