Rabu, 27 March 2019 | 4:06pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. - Foto Salhani Ibrahim.

Kerajaan komited lancar prototaip kereta terbang akhir 2019

LANGKAWI: Kerajaan komited untuk terus terbabit dalam teknologi kereta terbang atau kereta aero dan melancarkan prototaip pertamanya seawal akhir tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata kerajaan mahu mencipta industri aeroangkasa melangkaui dari apa yang dilihat pada hari ini termasuk terbabit dalam pembuatan kereta aero.

"Konsepnya sama (kereta aero atau kereta terbang) kerana industri kini sedang ke arah itu iaitu mencipta kereta terbang dengan kementerian saya akan memacu perkara ini ke depan.

"Ketika ini, syarikat seperti Aerodyne Sdn Bhd sudah agak maju (dalam pembuatan kereta aero). Kita mungkin akan melancarkannya seawal akhir tahun ini," katanya ketika ditemui BH di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19), hari ini.

Terdahulu, Mohd Redzuan mengadakan pertemuan dengan syarikat aeroangkasa dari United Kingdom (UK), Samad Aerospace, yang sedang merancang untuk membangunkan teksi udara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Seyed Mohseni, berkata pihaknya sedang berbincang dengan beberapa syarikat berpotensi dari Malaysia untuk menjalinkan usaha sama membangunkan teksi udara itu.

Katanya, beliau melihat kerajaan Malaysia mempunyai wawasan yang jelas dalam industri aeroangkasa apabila tahun lalu, telah meluluskan 11 projek pelaburan aeroangkasa baharu bernilai RM816.3 juta pada tahun lalu.

"Biarpun industri aeroangkasa di UK lebih besar dari Malaysia, tetapi pada tahun lalu, negara itu hanya meluluskan pelaburan bernilai AS$150 juta (RM600 juta) sahaja," katanya.

Mengulas mengenai teksi udara ciptaan syarikatnya, Seyed berkata, kenderaan yang dikenali sebagai HUMA (Home & Urban Mobility Aircraft) itu mampu merevolusikan industri pengangkutan.

"Ia bukan kereta terbang atau pesawat, tetapi hibrid di antara kedua-duanya. Ia mampu memendekkan lagi masa perjalanan kerana tidak perlu menempuh kesesakan lalu lintas, kos operasi yang lebih rendah dan mengeluarkan bunyi yang lebih senyap," katanya.

Berita Harian X