Selasa, 26 March 2019 | 5:40pm
PERSATUAN Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

MARGMA gesa turunkan tarif gas, elektrik

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menggesa Gas Malaysia Bhd dan Tenaga Nasional Bhd untuk mengurangkan kadar tarif masing-masing.

Presiden MARGMA, Denis Low Jau Foo, berkata persatuan mengharapkan penurunan ‘besar’ harga gas asli berikutan penurunan ketara harga gas asli cecair (LNG) dan arang batu.

Beliau dengan itu meminta dua syarikat berkenaan untuk mengkaji faktor kos semasa dan menyemak semula tarif mereka supaya selari dengan harga LNG dan arang batu antarabangsa.

Jau Foo berkata, pembuat sarung tangan getah tempatan mendapati amat mencabar dalam mendepani kenaikan kos berikutan gaji lebih tinggi, kenaikan harga gas asli dan tarif elektrik ‘tidak begitu kondusif’ bagi perniagaan dan persekitaran perniagaan global yang amat kompetitif.

MARGMA juga meminta Suruhanjaya Tenaga membantu dalam menyederhanakan kos tenaga untuk menjadikan industri sarung tangan getah Malaysia lebih kompetitif khususnya dalam menghadapi persaingan sengit daripada firma asing.

Ini, katanya adalah untuk memastikan Malaysia terus menjadi peneraju global dalam membekalkan sarung tangan untuk pemeriksaan perubatan dan pembedahan kepada dunia.

Beliau berkata penanda aras niaga hadapan syarikat LNG Jepun/Korea telah turun 60 peratus kepada AS$4.62 satu juta unit thermal British (MMBtu) daripada AS$11.81 MMBtu pada September 2018.

Sementara itu, harga arang batu turun 25 peratus kepada AS$88.25 satu tan daripada AS$118 satu tan pada Julai tahun lalu.

-BERNAMA

80 dibaca
Berita Harian X