Isnin, 25 March 2019 | 8:13am
Gambar ini pada 15 Mei 2018 menunjukkan Garuda Indonesia Boeing 737 Max 8 berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta. - Foto AFP

Pembatalan penerbangan Boeing 737 MAX berlanjutan

NEW YORK: American Airlines berkata ia akan melanjutkan pembatalan penerbangan sehingga 24 April kerana isu membabitkan pesawat bermasalah Boeing 737 MAX yang direhatkan operasinya susulan dua kemalangan maut sejak Oktober dan mengurangkan beberapa penerbangan tambahan.

American, syarikat penerbangan terbesar Amerika Syarikat (AS), berkata ia membatalkan kira-kira 90 penerbangan setiap hari. American adalah pengendali pesawat MAX kedua terbesar AS dengan 24 pesawat, selepas Southwest Airlines dengan 34 pesawat.

American pada awal bulan ini berkata, ia mengendalikan kira-kira 85 penerbangan sehari daripada 6,700 pelepasan harian menggunakan pesawat 737 MAX apabila pengumuman merehatkan pesawat jenis itu diumumkan.

Syarikat penerbangan itu berkata ia membuat pengumuman itu "bagi menyediakan lebih kepastian kepada pelanggan dan ahli pasukan kami dan melindungi pelanggan secara lebih baik berhubung penerbangan lain ke destinasi akhir mereka."

Boeing Co dijangkakan mendedahkan rancangan menaik taraf sistem kawalan penerbangannya kepada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) hari ini.

FAA mengatakan ia merancang untuk menguatkuasakan naik taraf sistem kawalan penerbangan pesawat itu menjelang April, tetapi masih belum jelas jika naik taraf itu akan menangani sebarang masalah selepas kemalangan Ethiopian Airlines pada 10 Mac.

American, Southwest dan United Airlines semuanya mengadakan pertemuan dengan Boeing pada hujung minggu untuk menyemak naik taraf perisian itu.

FAA sebelum ini berkata, "perubahan reka bentuk" akan menyebabkan penambahbaikan sistem kawalan penerbangan yang akan memberikan "mengurangkan kebergantungan pada prosedur yang berkaitan dengan butiran memori perintis yang diperlukan." - Reuters

Berita Harian X