Jumaat, 22 March 2019 | 11:10am

PNB timbang jualan bon

KUALA LUMPUR: Pengurus dana milik negara terbesar di Malaysia, yang memiliki lebih 10 peratus daripada pasaran saham tempatan, sedang menimbang penjualan pertama bon boleh tukar bagi mengumpul dana bagi pelaburan luar negara.

Permodalan Nasional Bhd (PNB) meneroka semua pilihan termasuk tawaran bon boleh tukar, atau nota yang disokong saham syarikat senaraian awam, kata seorang wakil dalam maklum balas kepada pertanyaan Bloomberg.

PNB baru-baru ini meminta bank pelaburan mengemukakan cadangan bagi potensi janji niaga itu, demikian menurut sumber berpengetahuan berhubung perkara itu.

Pengurus aset itu belum membuat keputusan muktamad berhubung perincian saham itu, menurut sumber-sumber, yang enggan mendedahkan identiti kerana maklumat itu bersifat peribadi.

PNB menguasai 48 peratus kepentingan dalam Malayan Banking Bhd, bank terbesar Malaysia, bernilai lebih AS$12 bilion berdasarkan harga penutup Khamis, demikian menurut data dikumpul Bloomberg.

PNB juga memiliki kira-kira 18 peratus kepentingan dalam Axiata Group Bhd, syarikat telekomunikasi tanpa wayar bernilai AS$9.4 bilion pada akhir 2017.

Lain-lain pegangan utama termasuk saham Sapura Energy Bhd, Sime Darby Bhd dan Tenaga Nasional Bhd, demikian menurut laman webnya.

Dana itu mencari modal dalam mata wang asing supaya ia dapat meningkatkan pelaburan luar negara, kata satu daripada sumber yang mengetahui perkara itu.

PNB mengikuti jejak dana kekayaan Khazanah Nasional Bhd, yang biasanya memasuki pasaran sekali setahun dengan penjualan bon dolar AS boleh tukar yang disokong sebahagian pegangan pasaran sahamnya.

Jika PNB memutuskan untuk meneruskan, ia berkemungkinan menerbitkan sukuk kerana ia lebih memilih kaedah pembiayaan yang mematuhi prinsip Islam, kata sumber.

Ia masih boleh memilih bentuk penjanaan dana lain, kata sumber.

PNB menguruskan set bernilai RM279 bilion (AS$69 bilion) pada akhir 2017, dengan sekitar 70 peratus dilaburkan dalam ekuiti.

Ia bercadang mempelbagaikan aset global bagi memastikan pulangan mapan sebagai sebahagian daripada strategi lima tahunnya, demikian menurut laman web dana itu.

PNB baru-baru ini bekerjasama dengan dana pencen terbesar Malaysia untuk membeli aset harta komersil di projek Stesen Power Battersea, yang mana Apple Inc merancang menjadikannya ibu pejabat United Kingdom. - Bloomberg

Berita Harian X