Jumaat, 22 March 2019 | 8:34am
Menteri Hal Ehwal Maritim Indonesia Luhut Pandjaitan. - Foto rmoljabar.com

Indonesia ancam haramkan import beberapa barangan EU

JAKARTA: Indonesia mengancam untuk mengharamkan import beberapa barangan dari Kesatuan Eropah (EU) sebagai tindak balas ke atas langkah blok itu mengenakan syarat ketat berhubung bagaimana minyak sawit boleh digunakan dalam bahan bakar hijau.

Pengeluar minyak sawit terbesar dunia itu sedang menimbangkan langkah sedemikian bagi melindungi kepentingan hampir 20 juta orang, yang mata pencariannya terikat dengan komoditi itu, kata Menteri Hal Ehwal Maritim Indonesia Luhut Pandjaitan kepada pemberita di Jakarta Rabu lalu.

Menteri itu membayangkan bahawa pengeluar pesawat jet Eropah boleh menjadi antara sasaran boikot, dengan mengatakan negara itu memerlukan 2,500 pesawat dalam dua dekad akan datang.

"Terdapat banyak produk Eropah yang kami perlukan," kata Pandjaitan.

"Kami mempunyai 269 juta orang di Indonesia. Kami mempunyai pasaran yang besar."

Minyak sawit muncul sebagai titik mula dalam potensi perang perdagangan antara EU dan pengeluar utama Indonesia dan Malaysia, yang bersama-sama menyumbang kira-kira 85 peratus daripada bekalan global.

Suruhanjaya Eropah minggu lalu mengehadkan jenis bahanapi bio daripada minyak sayuran yang boleh digunakan ke arah matlamat tenaga boleh diperbaharuinya.

Cadangan sekatan EU itu memberi kesan kepada harga penanda aras sawit, yang jatuh lima suku berturut-turut.

Indonesia juga merancang membuat protes rasmi dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sekiranya EU meratifikasikan cadangan itu, kata Menteri Koordinasi bagi Ehwal Ekonomi, Darmin Nasution.

Minyak sawit bukan sekadar penghasilan eksport bagi Indonesia, malahan ia berperanan dalam mengurangkan tahap kemiskinan dan sehubungan itu memenuhi kriteria utama matlamat pembangunan mampan, katanya.

EU berhujah bahawa langkah baharu itu dan kriteria kelestarian kelapa sawit bersesuaian dengan peraturan WTO.

Peraturan baru kini ditetapkan untuk tempoh penelitian selama dua bulan ketika mana negara anggota dan Parlimen Eropah dapat mengemukakan bantahan. Jika tiada bantahan diterima, langkah itu akan diterbitkan dalam jurnal rasmi EU dan menjadi undang-undang. - Bloomberg

650 dibaca
Berita Harian X