Isnin, 18 March 2019 | 5:42pm

FELDA sokong kerajaan sekat produk import EU

KUALA LUMPUR: FELDA menyokong tindakan kerajaan yang mahu mewujudkan undang-undang mengehadkan pengimportan produk oleh negara dari Kesatuan Eropah (EU), jika enggan menarik balik rancangan mengekang penggunaan minyak sawit dalam bahan bakar bio.

Pengarah Besarnya, Datuk Dr Othman Omar, berkata FELDA menyokong sebarang usaha atau inisiatif yang boleh memberi tekanan kepada negara yang mengharamkan minyak sawit, supaya mempertimbangkan semula keputusan mereka itu

“Ini kerana, kami percaya sekatan ekonomi dan pertimbangan komersial adalah langkah terbaik oleh Malaysia kerana (larangan penggunaan minyak sawit dalam bahan bakar bio) akan menjejaskan berjuta kehidupan rakyat Malaysia.

“Usaha daripada Perdana Menteri untuk memberi tekanan kepada EU amat disokong. Kami 100 peratus berada di belakang beliau,” katanya pada sidang media di Menara FELDA, di sini, hari ini.

Januari lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengutus sepucuk surat kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron memintanya supaya menolak cadangan mengharamkan minyak sawit dalam bahan bakar bio.

Kegagalan berbuat demikian, kata Perdana Menteri, akan memaksa Malaysia untuk bertindak termasuk menggantung perbincangan dagangan bebas EU-Malaysia dan mewujudkan undang-undang sama terhadap eksport dari Perancis.

Dalam perkembangan lain, Othman berkata FELDA menerima banyak cadangan daripada pihak yang berminat untuk menjalinkan kerjasama dengannya termasuk memajak tanah milik FELDA bagi menanam tanaman komersial selain kelapa sawit.

Katanya, perkara itu kini sedang dalam perbincangan dan keputusan mengenainya akan diumumkan pada akhir tahun ini.

“Ada cadangan yang kita terima mahu menanam nanas, durian, malah ada yang tiada kaitan dengan tanaman seperti ladang solar atau sarang burung walit.

“Kebanyakan tanaman komersial ini mengambil masa lebih singkat untuk berbuah dan mendapatkan hasil berbanding kelapa sawit yang mengambil masa sehingga empat tahun. Selain itu, hasil pulangan juga adalah lebih tinggi sehingga dua kali ganda.

“Sehubungan itu, kami bercadang untuk menggunakan 10 peratus ke 20 peratus tanah FELDA bagi tujuan ini. Kita juga menggalakkan sesiapa sahaja menghantar cadangan mereka termasuk dari antarabangsa supaya kami dapat memilih yang benar-benar terbaik,” katanya.

Mengenai sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Othman berkata ketika ini 42 peratus ladang milik FELDA di seluruh negara sudah menerima pensijilan berkenaan.

“Kita menjangkakan menjelang November ini, semua ladang sawit tempatan kita akan mematuhi sijil ini,” katanya.

241 dibaca
PENGARAH Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X