Jumaat, 15 March 2019 | 2:42pm
BANGI 13 MAC 2019. Menteri Industri Utama, Teresa Kok hadir ke Perjumpaan Menteri Industri Utama dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bersama Syarikat-Syarikat Dibawah Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS) di Dewan Sawit MPOB, Bandar Baru Bangi. NSTP/ROSELA ISMAIL

Klasifikasi 'risiko tinggi' EU terhadap sawit dibidas

KUALA LUMPUR: Menteri Industri Utama, Teresa Kok membantah keras keputusan Kesatuan Eropah (EU) yang mengklasifikasikan minyak sawit sebagai ‘berisiko tinggi’.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan faktor perlindungan politik dan bukan berasaskan sains bahan api atau sains penebangan hutan.

Katanya, negara pengeluar minyak sawit termasuk Malaysia secara konsistennya telah mengetengahkan fakta yang menunjukkan keputusan Akta Wakilan yang dibuat EU itu adalah bersandarkan kepada faktor diskriminasi dan tidak tepat.

“Keputusan itu mencerminkan ketidakadilan EU yang tidak boleh diterima dan ia gagal mengaplikasikan standard yang sama ke atas minyak kacang soya, walaupun fakta kajian EU sendiri menunjukkan bahawa kacang soya adalah penyumbang yang lebih besar terhadap penebangan hutan.

“Minyak sawit mengeluarkan hasil sawit lapan kali ganda daripada minyak kacang soya Amerika Syarikat (AS) bagi setiap satu hektar tetapi EU mengklasifikasikannya sebagai “berisiko rendah” disebabkan oleh alasan politik.

“Saya turut kecewa dengan keputusan EU untuk mengurangkan definisi pekebun kecil kepada dua hektar berbanding yang dicadangkan sebelum ini iaitu dua hingga lima hektar dalam draf Akta Wakilan berkenaan. Ia sangat tidak boleh diterima dan dianggap diskriminasi serta penghinaan kepada pekebun kecil di negara yang mengeluarkan minyak sawit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir telah menjelaskan bahawa jika Akta Wakilan itu dilaksanakan, Malaysia akan menyiasat tindakan balas terhadap eksport Eropah.

“Ia bertujuan untuk mencegah langkah perlindungan agresif ini. Selain itu, kerajaan juga akan bekerjasama dengan negara lain dalam Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) untuk mengetengahkan isu ini di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” katanya.

Berita Harian X