Selasa, 12 March 2019 | 4:21pm
Mohd Sheriff pada Forum Prospek Strategi Kewangan Malaysia Malaysia - 'Governing in Times of Heightened Public Scrutiny and Accountability Demands', anjuran ASLI, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Bekas MD Khazanah saran tutup Malaysia Airlines

PETALING JAYA: Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menutup Malaysia Airlines Bhd, berdasarkan prestasi merosot berterusan yang dicatatkan syarikat penerbangan nasional itu.

Bekas Pengarah Urusan (MD) Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim, berkata usaha untuk menyelamatkan operasi MAS sudah dilaksanakan beberapa kali dan dilihat tidak berjaya.

"Semakin ramai yang bercakap mengenai MAS termasuk penutupannya. Mungkin sudah sampai masanya untuk kerajaan mempertimbangkan untuk menutup syarikat penerbangan ini.

"Pada masa sama, ada juga pihak yang mencadangkan kajian semula perlu dilakukan sama ada kita masih memerlukan Malaysia Airlines. Jadi saya fikir, kita benar-benar perlu menelitinya sama ada syarikat berkenaan masih diperlukan atau tidak," katanya ketika ditemui di Forum Prospek Strategi Kewangan Malaysia Malaysia - 'Governing in Times of Heightened Public Scrutiny and Accountability Demands', anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asian (ASLI), di sini, hari ini.

Mohd Sheriff yang juga Pengerusi PLUS berkata, Malaysia Airlines dilihat berdepan kesukaran untuk mendapatkan keuntungan termasuk berdepan dengan persaingan dalam industri.

"Perlu diingat, Malaysia Airlines sudah beberapa kali telah 'diselamatkan' tetapi ia (usaha) tidak berjaya. Setiap kali bantuan kewangan (bailout) disalurkan, ia akan berada dalam keadaan baik untuk tempoh dua tiga tahun, kemudiannya berdepan semula dengan masalah.

"Jadi lebih baik sumber (kewangan) yang ada disalurkan kepada segmen yang lebih produktif," katanya.

Selain Malaysia Airlines, beliau berkata kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memperoleh keuntungan daripada kutipan cukai lapangan terbang yang berpotensi untuk meningkat menerusi Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) sebaik ia dilaksanakan sepenuhnya.

Sementara itu, mengulas mengenai penghapusan tol, Mohd Sheriff berkata, ia terpulang kepada Khazanah untuk membincangkan perkara itu dengan kerajaan dan memutuskannya.

"Khazanah adalah pemegang saham PLUS dan menyediakan segala maklumat serta data seperti kos pengendalian lebuh raya, berdasarkan apa yang diperlukan kerajaan," katanya.

1327 dibaca
Berita Harian X