Selasa, 5 March 2019 | 5:41pm
Malaysia menghasilkan 19.5 juta tan minyak sawit tahun lalu.

Harga minyak sawit diunjur sekitar RM2,400 satu tan 2019

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia dijangka stabil pada 2019 dengan peserta industri mengunjurkan harga purata antara RM2,300 satu tan hingga RM2,400 satu tan.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mengunjurkan harga purata MSM pada RM2,303 satu tan tahun ini, manakala pengeluaran minyak tropika global dijangka meningkat sebanyak tiga juta tan.

MPOC berkata, pengeluaran minyak sawit global dijangka mencapai 72 juta tan, dengan Malaysia dan Indonesia kekal pengeluar utama.

Agensi pemasaran utama Malaysia bagi minyak sawit itu menganggarkan pengeluatan Malaysia akan meningkat kepada 20.2 juta tan pada 2019 dan pengeluaran Indonesia pada 42.8 juta tan, demikian menurut MPOC pada pembentangan dalam talian di Pameran dan Persidangan Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik ke-30 (POC 2019) di sini, hari ini.

Malaysia menghasilkan 19.5 juta tan minyak sawit tahun lalu.

Pengeluaran Indonesia tahun lalu berjumlah 42 juta tan, berdasarkan anggaran Persatuan Minyak Sawit Indonesia.

Peningkatan pengeluaran boleh mengehadkan kenaikan harga minyak sawit baru-baru ini, yang pulih selepas menyentuh paras terendah tiga tahun RM1,940 satu tan pada November 2018.

Menurut MPOC, eksport minyak sawit juga dijangka meningkat pada 2019, sejajar jangkaan kenaikan permintaan daripada pengimport utama India berikutan penyusutan pengeluaran minyak bijirin domestik.

"India dijangka meningkatkan import (minyak sayuran) sebanyak 500,000 tan, mencecah 15.15 juta tan, yang mana sekitar 10 juta tan adalah minyak sawit," demikian menurut MPOC.

Ia menjangkakan peningkatan pengeluaran Malaysia yang kecil kepada 20.3 juta tan tahun ini bersandarkan beberapa faktor termasuk kawasan tanaman yang matang.

MPOC menganggarkan eksport Malaysia bagi 2019 pada 17.2 juta tan, meningkat daripada 16.5 juta tan tahun lalu, berikutan peningkatan permintaan daripada pasaran utama.

Sementara itu, Presiden Persatuan Biodiesel Malaysia, U R Unnithan, berkata pihaknya menjangkakan harga purata MSM antara RM2,300 dan RM2,400 satu tan pada 2019.

Beliau berkata, pengukuhan harga itu bakal dipacu komitmen kerajaan untuk melaksanakan mandat biodiesel sawit tahun ini.

"Biodiesel hari ini adalah bahagian penting dalam mekanisme harga minyak sawit," katanya.

Berita Harian X