Selasa, 5 March 2019 | 5:08pm
Iskandar menunjukkan kes yang dikenakan denda pada sidang media Kartel Tipuan Bida di Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias

Lapor pada MyCC perlakuan anti-persaingan ataupun kartel

KUALA LUMPUR: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi dan kementerian disarankan membuat laporan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) jika terdapat perlakuan anti-persaingan ataupun kartel.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail, berkata terdapat banyak kes kartel terutamanya membabitkan tipuan bida terhadap tender atau sebut harga daripada organisasi awam.

Beliau berkata, pihaknya menyeru kerjasama dan laporan daripada organisasi awam supaya MyCC dapat menjalankan siasatan, sekaligus membantu menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

“Ini kerana terdapat banyak kes tipuan bida membabitkan tender dan sebut harga daripada kerajaan. Terdapat syarikat-syarikat swasta yang terbabit dalam kes kartel ini.

“Yang terbaharu, MyCC sedang menyiasat lima kes tender dan sebut harga dari kerajaan (agensi dan kementerian), di mana dua kes dalam siasatan dan tiga kes lagi dalam proses kajian yang membabitkan nilai keseluruhan ratusan juta ringgit.

“Organisasi awam perlu beri kerjasama kerana syarikat terbabit dalam tender biasanya berpakat menentukan pemenang dan juga harga tender termasuk menghalang persaingan.

“Jika benar ada berlaku pakatan dalam kalangan syarikat yang menghantar tender terbabit, ia akan merugikan kepada perbelanjaan kerajaan,” katanya dalam sidang media Kartel Tipuan Bida di sini hari ini.

Iskandar berkata, kes terbaharu yang berjaya diselesaikan pihaknya adalah membabitkan tender dan sebut harga yang ditawarkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM1.92 juta.

Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati terdapat lapan syarikat terbabit dalam aktiviti tipuan tender terbabit.

Katanya, syarikat terbabit bersepakat berkongsi maklumat tender, memanipulasi harga tender dan menyediakan dokumen untuk satu sama lain selain pemenang tender berkongsi keuntungan dengan pembida yang kalah.

“Lapan syarikat terbabit dikenakan cadangan penalti keseluruhan sebanyak RM1.93 juta, melebihi nilai tender yang diperolehi mereka.

“MyCC komited dalam memastikan perkara sebegini dapat diatasi kerana jika tidak ditangani dalam jangka masa pendek, ia akan mengakibatkan harga kontrak kekal tinggi dan halangan kepada penagihan sumber yang cekap.

“Untuk jangka masa panjang pula, perusahaan tidak perlu lagi bersaing sesama sendiri, industri menjadi tidak cekap, kualiti produk tidak berkadar dengan kos serta penggunaan wang pungutan cukai yang tidak cekap,” katanya.

Berita Harian X