Selasa, 5 March 2019 | 4:52pm
Menteri Industri Utama, Teresa Kok. Foto NSTP/Salhani Ibrahim.

Cadangan had kawasan tanaman sawit ke Kabinet bulan ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Industri Utama akan membentangkan kepada Kabinet berhubung cadangan mengehadkan kawasan penanaman sawit kepada 6.5 juta hektar menjelang 2023 pada bulan ini, kata Menterinya, Teresa Kok.

Beliau berkata, cadangan yang akan dibentangkan ke Kabinet itu akan memerlukan komitmen dan kerjasama kerajaan negeri kerana bidang kuasa tanah berada di bawah mereka.

Ia, antara lain katanya bertujuan untuk menghapuskan reputasi minyak minyak sawit di mata dunia yang menyamakan tanaman itu dengan kemusnahan hutan.

"Kebelakangan ini kita berhadapan banyak tuduhan dan adalah menjadi komitmen kami membetulkannya.

"Lebih baik kita menambah baik pulangan dan meningkatkan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) sawit, selain menambah kecekapan kawasan perladangan," katanya pada Pameran dan Persidangan Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik ke-30 (POC 2019) di sini, hari ini.

Malaysia mengeluarkan 19.5 juta tan minyak sawit mentah (MSM) daripada kawasan penanaman sawit seluas 5.8 juta hektar pada 2018.

Jumlah eksport sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia adalah 25.2 juta tan, menghasilkan pendapatan eksport bernilai RM67.5 bilion.

Langkah itu dibuat ketika pengeluar minyak sawit, khususnya Malaysia dan Indonesia, menggiatkan usaha menangkis sentimen anti-kelapa sawit dan dakwaan bahawa tanaman itu memusnahkan hutan hujan tropika yang menjadi habitat haiwan terancam.

Walaupun sentimen negatif terhadap minyak kelapa sawit wujud selama beberapa dekad, tetapi ia menjadi lebih lantang kebelakangan ini daripada pelobi minyak sayuran lain berpangkalan di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU) bulan lalu mengklasifikasikan minyak sawit yang dihasilkan pengusaha ladang besar sebagai tidak lestari dan mencadangkan bahawa minyak itu dikecualikan daripada sasaran biofuel EU.

Dalam perkembangan berkaitan, Kok berkata pemetaan kawasan yang ditanam dengan sawit akan dipertingkatkan bertujuan meningkatkan tahap ketelusan, selain ia boleh diakses oleh sesiapa saja.

Sementara itu, Naib Pengerusi merangkap Ketua Pengarah Eksekutif, United Plantation Bhd, Datuk Dr Carl Bek-Nielsen, berkata kajian yang dibuat mendapati penternakan lembu adalah penyumbang utama kepada penebangan hutan di dunia, disusuli tanaman soya dan sawit hanyalah komoditi kelima yang dikaitkan dengan kemusnahan hutan, iaitu satu persepuluh berbanding penebangan hutan untuk penternakan lembu.

Berita Harian X