Isnin, 4 March 2019 | 7:57pm
DUTA China ke Malaysia, Bai Tian mahu membeli lebih banyak produk dan minyak sawit dari Malaysia. - Foto BERNAMA

China tingkat belian sawit Malaysia

KUALA LUMPUR: China meningkatkan pengambilan eksport minyak kelapa sawit Malaysia sebanyak 500,000 tan kepada 1.62 juta tan bernilai AS$890 juta (RM3.4 bilion).

Duta China ke Malaysia, Bai Tian pula berkata, kerajaan China juga sedang meninjau untuk membeli lebih banyak produk dan minyak sawit dari Malaysia.

“China tidak mengenakan siling kepada eksport Malaysia ke China bagi produk dan minyak sawit. Oleh itu saya harap lebih ramai rakyat China dan pengguna akan mengambil produk Malaysia ke pasaran China.

“Permintaan pasaran China adalah besar dan kami akan mengimport lebih banyak. Kami juga terbabit dengan rakan kongsi Malaysia dalam latihan R&D mengenai biofuel dan menjangkakan ia akan memberikan hasil yang baik,” katanya pada pembukaan Forum Perniagaan Minyak Sawit Malaysia-China hari ini. Hadir sama ialah Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Kok dan Tian sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani dokumen hasrat pembelian produk sawit antara empat syarikat Malaysia dengan tiga syarikat China.

Syarikat dari China itu adalah Yihai Kerry (Shanghai) International Trade Co Ltd, Yizheng Fangshub Industry Ltd Co dan Yantai Tianmao Edible Ltd Co

Tahun lalu, Malaysia mengeksport 3.07 juta tan minyak dan produk sawit bernilai RM8.38 bilion ke China.

Ia adalah peningkatan sebanyak 7.3 peratus berbanding dengan 2.86 juta tan bernilai RM9.39 bilion pada 2017.

China adalah pengimport minyak dan produk berasaskan sawit kedua terbesar Malaysia pada 2018 dengan eksport biodiesel sawit Malaysia ke China meningkat dengan ketara daripada 140 tan (RM5.0 juta) pada 2017 kepada 41,450 tan (RM113 juta) pada 2018.

Peningkatan import sawit oleh China terutamanya ketika pertengahan 2018 didorong situasi ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

China mengenakan cukai import yang lebih tinggi ke atas kacang soya yang seterusnya mengurangkan import kacang soya.

Sementara itu, Kok berkata, kerajaan komited untuk melaksanakan pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MSPO) yang akan menjadi mandatori bermula 1 Januari 2020.

“Malaysia akan memastikan bahawa pada awal 2020, semua eksport minyak sawit ke pasaran global adalah dari sumber yang mapan.

“Ini akan membezakan minyak kelapa sawit Malaysia sebagai produk bukan sahaja berkualiti tinggi tetapi juga dihasilkan dengan sihat.

“Persaingan telah membuka peluang bagi sektor swasta untuk mentakrifkan semula pendekatan perniagaannya, membentuk perkongsian dan pakatan strategik untuk mencari jalan baru bagi mengembangkan perniagaan dalam industri minyak sawit.

“Terdapat peluang untuk meneroka pelaburan dalam industri minyak sawit dalam aktiviti hiliran bernilai tambah seperti bahan kimia oleo, farmaseutikal, makanan olahan, produk khusus dan juga produk pengguna," katanya.

Berita Harian X