Rabu, 27 Februari 2019 | 1:25pm
TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah (lima dari kiri) bergambar bersama orang ramai pada majlis pelancaran WOWnita sempena ulang tahun ke-10 kerjasama antara Standard Chartered dan CGC. Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A Anwar (dua dari kanan). - Foto Rosela Ismail

Standard Chartered dan CGC sedia RM85 juta bantu PKS

KUALA LUMPUR: Standard Chartered Malaysia, Standard Chartered Saadiq dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) hari ini memeterai perjanjian jaminan portfolio bernilai RM85 juta untuk membiayai syarikat kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Jaminan portfolio itu membabitkan dua peringkat yang mana Standard Chartered Malaysia komited RM75 juta untuk pembangunan PKS tempatan sementara Standard Chartered Saadiq pula sebanyak RM10 juta untuk penyediaan modal kerja bagi usahawan wanita.

Perjanjian itu dimeterai sempena ulang tahun ke-10 kerjasama antara Standard Chartered dan CGC dan ia disaksikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Pada majlis itu, Standard Chartered Saadiq melancarkan skim pembiayaan berlandaskan Syariah untuk wanita dikenali WOWnita bagi membolehkan usahawan wanita di negara ini mendapat akses kepada pembiayaan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A Anwar, berkata skim pembiayaan itu boleh dipohon oleh usahawan wanita yang mempunyai pegangan majoriti sekurang-kurangnya 51 peratus dalam syarikat dan mempunyai kuasa membuat keputusan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak, berkata Standard Chartered Bank adalah rakan pertama skim jaminan portfolio CGC.

Beliau berkata, dalam tempoh 10 tahun lalu, Standard Chartered Bank dan CGC melancarkan 11 peringkat jaminan portfolio bernilai RM1.37 bilion dengan lebih 3,300 PKS mendapat manfaatnya.

"Dengan termeterainya perjanjian hari ini, kami akan mempunyai 13 peringkat jaminan portfolio berjumlah RM1.46 bilion," katanya.

Mengenai sasaran kelulusan jaminan dan pembiayaan CGC bagi 2019, Mohd Zamree berkata, pihaknya meletakkan sasaran untuk meluluskan jaminan dan pembiayaan bernilai RM4.6 bilion yang akan memanfaatkan 9,800 PKS tempatan.

Berita Harian X