Selasa, 19 Februari 2019 | 6:07pm
Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche memegang botol minyak sawit semasa mengunjungi Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok.

Malaysia, Perancis bincang kerjasama sawit

PUTRAJAYA: Malaysia dan Perancis akan mengadakan sesi dialog dan perjumpaan bersama bagi memahami cabaran industri minyak sawit.

Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok yang menerima kunjungan daripada Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche di pejabatnya di sini hari ini berkata, kedua-dua negara membincangkan peningkatan kerjasama dua hala dan dialog mengenai minyak sawit, serta kerjasama antara penggubal undang-undang.

“Kami harap ia akan menjawab lebih banyak soalan berkaitan pengeluaran minyak sawit dan kelestarian dalam kalangan penggubal undang-undang Perancis dan penggunanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Parlimen Perancis baru-baru ini mengundi untuk mengecualikan minyak kelapa sawit sebagai bahan mentah biodiesel dan menamatkan insentif cukai bagi minyak sawit pada 2020.

Kedua-dua Kumpulan Persahabatan Parlimen yang ditubuhkan antara Ahli Parlimen Perancis dan Malaysia pada 2018 dengan tumpuan kerjasama dua hala dan Mesyuarat Majlis Perniagaan Perancis -Malaysia akan membincangkan secara lanjut mengenai cabang minyak sawit.

Menerusi kunjungan itu, Laplanche juga memaklumkan bahawa Duta Alam Sekitar Perancis, Wehrling Yann merancang untuk melawat Malaysia sebagai pendedahan pertama mengenai amalan minyak sawit Malaysia dan usaha pemuliharaannya.

Laplanche bercadang sempena lawatan Yann dijangka pada April ini, akan diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Minyak Sawit Malaysia-Perancis untuk mempromosikan dialog mengenai minyak kelapa sawit, termasuk lawatan ke ladang sawit sebagai sebahagian daripada jadual lawatan Yann ke Malaysia.

Kok dan Laplanche juga membincangkan tindakan Dewan Negara Perancis meminda Bajet 2019 pada 19 Disember lalu untuk mengecualikan penggunaan minyak sawit sebagai biodiesel dan menamatkan insentif fiskal bagi minyak sawit bermula 1 Januari 2020.

Bulan lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat protes dan meminta Presiden Perancis Emmanuel Macron untuk menolak pindaan Dewan Negara Perancis, sambil menambah bahawa ia memberi kesan buruk kepada ekonomi dan perdagangan dua hala.

Kok berkata, langkah itu mendukacitakan Malaysia kerana ia dianggap sebagai larangan de facto kerana penyingkiran insentif fiskal akan menaikkan harga minyak sawit.

“Dewan Negara Perancis juga memutuskan untuk merawat biofuel minyak kelapa sawit sebagai bahan bakar biasa dan bukan bahan api hijau, walaupun jaminan Kerajaan Perancis pada awal Januari 2018 bahawa ia tidak akan membezakan minyak sawit,” katanya.

Susulan itu, Laplanche berkata, Macron dijangka akan memberi maklum balas terhadap surat Perdana Menteri itu dalam tempoh terdekat.

Berita Harian X