Jumaat, 15 Februari 2019 | 5:28pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Foto NSTP/Rosela Ismail.

Projek TRX mampu tarik pelabur

KUALA LUMPUR: Projek pembangunan mega, Tun Razak Exchange (TRX) yang dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM40 bilion dijangka mampu menarik ramai pelabur dari dalam dan luar negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata TRX boleh menjadi satu projek bertaraf antarabangsa selepas menjalani proses ‘pembersihan’ daripada isu berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Minggu ini, projek TRX Exchange menarik pembiayaan RM2.15 bilion daripada bank antarabangsa yang yakin dana digunakan untuk tujuan sepatutnya di bawah pentadbiran bersih kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Ini hasil usaha ‘detox’ yang Kementerian Kewangan (MOF) lakukan selepas mengambil alih tampuk pemerintahan pada 9 Mei 2018 terhadap projek TRX Exchange yang terpalit dengan skandal 1MDB,” katanya menerusi laman sosial Facebook, hari ini.

Guan Eng berkata, usaha mempercepatkan proses pembersihan yang merangkumi tindakan mengenal pasti; mengasingkan dan kuarantin unsur penyelewengan; salah guna kuasa dan salah laku berkaitan 1MDB oleh pemimpin terdahulu menjadikan projek TRX Exchange menarik kepada pelabur.

“Selepas usaha ‘detox’, TRX Exchange kini adalah projek bebas rasuah yang mendapat kepercayaan pelabur di dalam dan luar negara.

“Ini dibuktikan dengan pelaburan RM2.15 bilion menerusi syarikat usaha sama Lendlease, syarikat pemaju dari Australia dan TRX City Sdn Bhd,” katanya.

Kerajaan sudah membuat semakan semula terhadap projek pembangunan ikonik seluas 28.32 hektar itu sebagai sebahagian daripada penilaian terhadap semua projek berkaitan kerajaan.

Semakan itu sekali gus menunjukkan bahawa kerajaan boleh memperoleh semula kos peluang dan pelaburan yang dibuat ke dalam TRX.

Malah, pada tahun lalu, kerajaan juga bersetuju untuk menyalurkan dana tambahan berjumlah RM2.8 juta kepada TRX City yang juga pemaju induk pembangunan TRX.

220 dibaca
Berita Harian X