Khamis, 14 Februari 2019 | 3:13pm
Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

AETS jamin pendapatan pekebun kecil getah tidak terjejas

SUNGAI BULOH: Kerajaan berharap pelaksanaan Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS) dapat dilakukan dengan segera bagi memastikan pendapatan pekebun kecil tidak terus terjejas.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata pelaksanaan AETS di bawah rangka kerja Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) boleh mengelakkan harga getah daripada terus merosot.

Beliau berkata, kedudukan harga yang rendah mendorong ITRC yang dianggotai tiga pengeluar getah asli utama dunia iaitu Thailand, Indonesia dan Malaysia mengenalpasti beberapa langkah dan cadangan bagi mengukuh serta menstabilkan harga getah asli.

“Selain pelaksanaan AETS, antara cadangan yang dipertimbangkan termasuklah Skim Pengurusan Bekalan iaitu penetapan kuota penanaman dan pengeluaran getah serta Skim Penggalakan Permintaan iaitu meningkatkan penggunaan getah domestik.

“Pada hujung bulan ini, mesyuarat ITRC di peringkat menteri akan berlangsung di Thailand dan kesempatan itu akan digunakan untuk membuat kajian mendalam dan mempertimbangkan langkah terbaik untuk mengatasi masalah harga getah,” katanya semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian di sini, hari ini.

Majlis itu diadakan serentak dengan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Lembaga Getah Malaysia (LGM) 2018.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pengarah LGM, Dr Zairossani Mohd Nor.

Harga getah SMR 20 terjejas pada tahun lalu dengan harga purata RM5.44 sekilogram berbanding RM7.04 sekilogram pada 2017.

Harga terendah gred SMR 20 adalah pada paras RM4.97 sekilogram pada 21 November lalu.

Sementara itu, Dr Zairossani berkata LGM menjangka harga getah SMR 20 akan meningkat dan mencecah RM6 sekilogram tahun ini.

“Kami berharap harga getah akan meningkat daripada harga semasa iaitu RM5.50 sekilogram,” katanya.

177 dibaca
Berita Harian X