Rabu, 13 Februari 2019 | 2:22pm
JABATAN Perangkaan Malaysia.

Jualan perdagangan borong dan runcit naik 8.2 peratus kepada RM1.25 trilion

KUALA LUMPUR: Jualan sub-sektor perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan 8.2 peratus kepada RM1.25 trilion pada 2018 berbanding tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, dalam kenyataan hari ini berkata bagi suku keempat 2018 (4Q18), indeks volum berkembang 8.1 peratus kepada 173.8 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, didorong pengembangan perdagangan runcit sebanyak 11.8 peratus.

Bagi tempoh sama, indeks volum perdagangan borong dan kenderaan bermotor, masing-masing turut merekodkan peningkatan 6.2 peratus dan 1.9 peratus.

“Bagi perbandingan antara suku tahun, indeks volum bermusim diselaraskan bagi perdagangan borong dan runcit meningkat 1.7 peratus berbanding suku ketiga 2018, disumbangkan sub-sektor perdagangan borong dan perdagangan runcit masing-masing sebanyak 2.6 peratus dan 1.5 peratus,” kata Mohd Uzir.

Indeks volum bermusim diselaraskan bagi Kenderaan Bermotor menyusut 3.7 peratus bagi tempoh sama.

Bagi Disember 2018, nilai jualan perdagangan borong dan runcit naik 8.0 peratus kepada RM109 bilion berbanding tempoh sama 2017. - BERNAMA

Berita Harian X