Selasa, 12 Februari 2019 | 4:52pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Rosela Ismail

Aset projek TRX telah 'dibersihkan'

KUALA LUMPUR: Projek pembangunan mega, Tun Razak Exchange (TRX) yang dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM40 bilion telah menjalani proses semakan semula dan pembersihan aset, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, semakan semula terhadap projek pembangunan ikonik seluas 28.32 hektar itu adalah sebahagian daripada penilaian ke atas semua projek berkaitan kerajaan.

Katanya, semakan semula itu juga menunjukkan bahawa kerajaan boleh mendapatkan semula kos peluang dan pelaburan yang dibuat ke dalam TRX.

“Justeru, jangan bimbang kerana TRX telah menjalani pembersihan dan ia kini lebih telus dan bergerak ke hadapan, ia bakal menjadi projek antarabangsa global berkelas dunia.

“Malah, tahun lalu, kerajaan juga bersetuju untuk menyalurkan dana tambahan berjumlah RM2.8 juta kepada TRX City Sdn Bhd (TRX City) yang juga pemaju induk pembangunan TRX.

“Ia bertujuan membolehkan syarikat berkenaan yang juga anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan menyiapkan keseluruhan projek khususnya untuk kemudahan prasarana berkelas dunia di TRX.

“Selain itu, semakan berkenaan juga menjadi bukti proses kuarantin yang berjaya terhadap projek yang mempunyai beberapa isu berkaitan kerajaan terdahulu dan projek yang tidak mempunyai masalah boleh diteruskan mengikut undang-undang pasaran dan amalan antarabangsa,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran The Exchange TRX, di sini, hari ini.

The Exchange TRX adalah projek pembangunan yang dibangunkan secara bersama oleh pemaju pembangunan terkemuka Australia, Lendlease dan TRX City.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ketua Ekskutif Lendlease Asia, Tony Lombardo; Ketua Eksekutif TRX City, Datuk Azmar Talib dan Pengerusi Lendlease Malaysia, Dinesh Nambiar.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata proses pembersihan aset itu juga adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk ‘menghapuskan anasir berkaitan 1MDB’.

“Anasir berkenaan telah mencemarkan imej Malaysia sebagai destinasi untuk perniagaan dan pelaburan.

“Terdapat pelbagai pembaharuan fiskal yang sedang dijalankan oleh kerajaan yang bukan hanya akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara ini tetapi juga meningkatkan kepercayaan umum kepada kerajaan.

“Antara langkah yang diambil termasuklah pelaksanaan tender terbuka, penubuhan Jawatankuasa Pembaharuan Cukai serta pemindahan menuju perakaunan akrual daripada yang berasaskan tunai,” katanya.

179 dibaca
Berita Harian X