Selasa, 12 Februari 2019 | 4:21pm
AZMIN bersama Hock San pada Majlis sesi ramah mesra sempena sambutan Tahun Baru Cina di Sunway Hotel resort & Spa di Subang Jaya. - Foto Syarafiq Abd Samad

Kerajaan tidak campur tangan urus niaga FELDA-Eagle High

PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan campur tangan dalam rancangan FELDA untuk menjual semula 37 peratus pegangannya dalam PT Eagle High Plantations Tbk (Eagle High) kepada syarikat pelaburan Indonesia, Rajawali Group.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ahli Lembaga Pengarah FELDA telah membuat keputusan dan meneliti mengenai perkara itu secara mendalam, justeru kerajaan tidak akan mencampuri keputusan yang telah dibuat.

"Saya fikir biarkan proses ini diteruskan dan mereka seharusnya menyelesaikan perkara ini secara baik," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis ramah mesra sambutan Tahun Baru Cina oleh Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Presiden Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia, Tan Sri Lim Hock San.

Baru-baru ini, The Straits Times Singapura melaporkan bahawa FELDA bercadang melupuskan pegangannya dalam Eagle High dan menuntut kembali lebih AS$500 juta (RM2.03 bilion) yang telah dilaburkan ke atas ladang kelapa sawit dan aset pengeluaran berkaitan gula di Indonesia pada Mei 2017.

Menurut laporan itu, pengambilalihan 37 peratus kepentingan dalam Eagle High oleh FELDA itu dianggap kontroversi serta menimbulkan kebimbangan mengenai urus niaga itu, lantas FELDA ingin menjual semula kepentingan ekuitinya pada harga pembelian AS$505.4 juta (RM2.06 bilion) bersama dengan faedah tahunan enam peratus yang harus ditanggung syarikat Indonesia berkenaan.

Lembaga Pengarah FELDA dikatakan memutuskan untuk melaksanakan tindakan itu dalam satu surat bertarikh 3 Januari lalu kepada Rajawali Group.

Rajawali Group adalah syarikat milik jutawan Indonesia, Peter Sondakh.

Di bawah perjanjian itu, Eagle High dikehendaki memastikan pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), akreditasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang membolehkan akses ke pasaran utama dijalankan sebelum akhir 2019.

Pegawai kanan kerajaan Malaysia yang terbabit secara langsung dalam penstrukturan semula FELDA mengakui bahawa Rajawali telah memaklumkan kepada FELDA pihaknya akan mencabar perkara itu di mahkamah.

Terdahulu, Mohamed Azmin dalam ucapannya menghargai komuniti Hokkien di Malaysia sebagai antara pemacu penting ekonomi negara.

"Masyarakat Hokkien di Malaysia telah memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.

"Anda semua rajin bekerja dan berniaga serta komited untuk berjaya dan membawa kemakmuran kepada negara. Untuk itu saya tabik kepada anda," katanya.

Berita Harian X