Selasa, 12 Februari 2019 | 3:19pm
JABATAN Perangkaan Malaysia (DoSM).

Pengeluaran getah asli menokok 5.4 peratus Disember 2018

KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli (NR) Malaysia meningkat 5.4 peratus kepada 54,992 tan pada Disember 2018 daripada 52,174 tan bulan sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Dalam kenyataan hari ini, DoSM berkata pengeluaran NR pada Disember bagaimanapun merosot 18.0 peratus pada asas tahun ke tahun.

Ia berkata, stok NR pada Disember meningkat 2.3 peratus kepada 173,848 tan daripada 169,939 tan pada November.

DoSM berkata, harga purata susu getah pekat mencatatkan RM3.77 sekilogram, merosot satu peratus, manakala harga purata Getah Standard Malaysia 20 (SMR 20) meningkat 1.7 peratus kepada RM5.18 sekilogram.

Eksport NR menyusut sembilan peratus bulan ke bulan kepada 48,183 tan pada Disember.

Menurut DoSM, China adalah destinasi utama NR, menyumbang 46.5 peratus daripada jumlah eksport.

"Ini diikuti Jerman (14.8 peratus), Finland dan Amerika Syarikat (4.6 peratus), serta Iran (3.1 peratus)," katanya.

Penggunaan domestik NR pada Disember merosot 2.7 peratus kepada 41,823 tan berbanding 42,971 tan pada November.

Industri sarung tangan getah adalah pengguna utama NR, sebanyak 76.2 peratus (atau 31.886 tan) daripada jumlah NR untuk kegunaan domestik. - BERNAMA

42 dibaca
Berita Harian X