Selasa, 12 Februari 2019 | 3:11pm
Menteri Industri Utama, Teresa Kok. Foto NSTP/Asyraf Hamzah.

Dana penstabilan harga biodiesel akan diwujud

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan dana menstabilkan harga biodiesel dalam usaha menggalakkan penggunaan bahan api bio itu di peringkat domestik, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Buat masa ini, beliau berkata perkara itu masih dalam fasa perbincangan di peringkat kementeriannya dan perlu berbincang dengan kementerian serta agensi kerajaan lain sebelum ideanya dapat direalisasikan.

“Ia bertujuan menstabilkan harga biodiesel supaya tidak turun naik dengan begitu ketara. Pada masa ini, harga minyak sawit sedang meningkat kerana harga diesel masih rendah dan berpatutan.

“Bagaimanapun, jika ia terus meningkat, harganya akan menjadi mahal untuk kegunaan awam. Justeru, langkah ini akan menstabilkan harga supaya ia dapat menawarkan harga yang lebih menarik (untuk kegunaan domestik),” katanya pada sidang media majlis Pelancaran Forum Perniagaan Biofuel, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Eksekutif Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), Mahendra Siregar dan Timbalan Menteri Makanan dan Pertanian Indonesia, Musdhalifah Machmud.

Mengulas lanjut, Kok berkata, idea memperkenalkan dana menstabilkan harga biodiesel itu juga sudah dikemukakan pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

“Pada masa ini, kami hanya boleh memperkenalkan idea itu, namun perlu mengadakan perbincangan dengan kementerian serta agensi kerajaan lain untuk menentukan cara terbaik melaksanakannya.

“Langkah ini adalah sama seperti yang dilakukan Indonesia dan Thailand. Malaysia boleh merujuk bagaimana kedua-dua negara berkenaan melaksanakan sistem terbabit dan kita boleh mengambil langkah sama, namun perbincangan lanjut harus diadakan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu boikot minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) menjelang 2030, Kok berkata perkara itu akan dijadikan sebagai agenda utama pada mesyuarat peringkat menteri CPOPC yang dijadual berlangsung pada akhir bulan ini.

“Ketua Setiausaha Kementerian Industri akan mengadakan perjumpaan dengan Duta EU dalam masa terdekat untuk mendapatkan maklumat terkini. Kami perlu melihat butirannya terdahulu sebelum memberikan sebarang reaksi atau maklum balas.

“Perkara ini sememangnya akan dibincangkan bersama Indonesia dan Colombia pada mesyuarat CPOPC di Jakarta, Indonesia,” katanya.

Berita Harian X