Isnin, 11 Februari 2019 | 4:50pm

Malaysia destinasi utama pelancong China pada Tahun Baru Cina

SHANGHAI: Malaysia menjadi antara destinasi utama dalam kalangan pelancong China semasa musim perayaan Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

Selain Malaysia, destinasi pelancongan lain yang menjadi pilihan mereka adalah Thailand, Jepun, Vietnam, Korea Selatan, Singapura, Amerika Syarikat (AS), Hong Kong, Macau dan Taiwan.

Pada 2017, pelancong China melakukan 143 juta perjalanan antarabangsa dan menjadi perbelanjaan terbesar di dunia dalam pelancongan antarabangsa, kata Pertubuhan Pelancongan Dunia Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Agensi berita Xinhua berkata, pelancong China juga membuat 415 juta pelancongan domestik semasa cuti perayaan Tahun Baru Cina, meningkat sebanyak 7.6 peratus dari tempoh yang sama tahun lalu.

 

Katanya, memetik kenyataan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China, pelancongan domestik semasa percutian terbesar China itu menjana pendapatan sebanyak 513.9 bilion yuan (RM308.3 bilion), peningkatan tahunan sebanyak 8.2 peratus.

Jumlah perjalanan keluar dan masuk China juga meningkat 11 peratus kepada 12.53 juta berbanding 2018, dengan peningkatan perjalanan keluar dan masuk atas sebab peribadi sebanyak 16 peratus kepada 7.22 juta.

Pertumbuhan yang mantap dalam perjalanan dan perbelanjaan domestik serta antarabangsa sepanjang musim perayaan itu menggambarkan peningkatan pelancong China disebalik kelembapan ekonomi negara itu.

 

Lebih 6.2 juta ketibaan direkodkan oleh pihak berkuasa sempadan pada minggu ini, peningkatan sebanyak 9.5 peratus.

 

Jumlah pelepasan juga meningkat 12.5 peratus kepada 6.3 juta, katanya yang memetik data daripada Jabatan Imigresen China.

 

Pada musim perayaan sama tahun lalu, 386 juta perjalanan domestik direkodkan, menyumbang kepada peningkatan pendapatan sektor pelancongan China kepada 475 bilion yuan (RM285.13 bilion).

-Reuters

97 dibaca
Berita Harian X