Isnin, 11 Februari 2019 | 3:17pm
Inventori minyak sawit di Malaysia susut buat kali pertama dalam tempoh lapan bulan. - Foto hiasan

Stok sawit kembali susut

KUALA LUMPUR: Inventori minyak sawit di Malaysia susut buat kali pertama dalam tempoh lapan bulan pada Januari berikutan pengeluaran yang berkurangan dan peningkatan eksport, demikian menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Jumlah keseluruhan bekalan stok adalah tiga tan metrik berbanding dengan 3.03 juta tan yang dianggarkan dalam tinjauan Bloomberg minggu lalu.

Ia juga menandakan penurunan bulanan pertama selepas peningkatan berterusan dari Jun lalu yang melonjakkan jumlah bekalan ke paras rekod baharu.

Eksport pula meningkat ke paras tertinggi sejak September dan memacu kejatuhan mendadak dalam inventori.

Pengurus Jualan Institusi Okachi Malaysia, Marcello Cultrera, berkata data MPOB itu agak kuat memandangkan permintaan dan penggunaan domestik turut memberi sokongan.

Katanya, kejutan terbesar adalah permintaan eksport yang mencatatkan lebihan 110,000 tan berbanding jangkaan.

“Penggunaan domestik dijangka meningkat pada masa hadapan apabila mandat B10 dilaksanakan di Malaysia,” katanya.

Penganalisis industri, Dorab Mistry, berkata harga minyak sawit di Malaysia mungkin meningkat sehingga RM2,400 setan menjelang hujung Mac jika mata wang ringgit kekal pada paras semasa.

“Bekalan di Malaysia dan Indonesia juga mungkin susut sekitar enam juta tan menjelang April hingga Mei,” katanya pada satu persidangan di New Delhi.

Sementara itu, di Indonesia, inventori minyak sawit pada Disember susut melebihi jangkaan kepada 3.26 juta tan, yang terendah dalam tempoh 15 bulan disebabkan oleh pengeluaran yang berkurangan.

Pengeluaran minyak sawit mentah yang digunakan dalam semua produk termasuk syampu dan gula-gula susut 3.9 peratus kepada 1.74 juta tan.

Ia kejatuhan untuk bulan ketiga berturut-turut dan ia lebih kecil daripada jangkaan 10 peratus dalam tinjauan dan berbanding dengan 1.71 juta tan yang dijangka oleh MPOB.

Eksport meningkat 21 peratus kepada 1.68 juta tan, melepasi unjuran sebanyak 1.56 juta tan.

Niaga hadapan minyak sawit bagi penghantaran April didagangkan 0.7 peratus lebih rendah pada RM2,274 di Bursa Malaysia Derivatif menjelang tengah hari. - Bloomberg

Berita Harian X