Isnin, 11 Februari 2019 | 2:48pm
MOHD Uzir Mahidin

Nilai jualan sektor pembuatan naik 7.7 peratus 2018

KUALA LUMPUR: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada Disember 2018 mencatatkan peningkatan 7.7 peratus kepada RM824.8 bilion pada 2018, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata bilangan pekerja yang terbabit dalam sektor itu dalam tempoh dikaji meningkat 1.7 peratus kepada 1.07 juta orang.

“Nilai jualan setiap pekerja meningkat 5.9 peratus kepada RM766,840,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu nilai jualan terkumpul sektor pembuatan pada Disember 2018 meningkat 7.5 peratus kepada RM72.3 bilion berbanding RM67.3 bilion bulan sama setahun lalu.

Mohd Uzir berkata, pertumbuhan disokong peningkatan dalam barangan elektrik dan elektronik (12.0 peratus), produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (9.1 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (5.0 peratus).

Jabatan itu berkata, bilangan pekerja dalam tempoh itu meningkat 1.7 peratus atau 18,044 orang kepada 1.076 juta berbanding 1.057 juta pada Disember 2017.

Gaji dan upah yang dibayar meningkat 10.1 peratus atau RM381.5 juta kepada RM4.16 bilion, sekali gus mencatatkan purata gaji dan upah seorang pekerja sebanyak RM3,863 pada Disember 2018,” katanya.

Nilai jualan setiap pekerja meningkat 5.7 peratus kepada RM67,249 berbanding bulan sama tahun sebelumnya, katanya. - BERNAMA

79 dibaca
Berita Harian X