Isnin, 11 Februari 2019 | 2:40pm

IMF beri amaran 'ribut' ekonomi global

DUBAI: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran kepada kerajaan-kerajaan untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya ribut ekonomi ketika mana pertumbuhan lebih perlahan daripada jangkaan.

"Pokoknya, kita menyaksikan ekonomi yang berkembang lebih perlahan daripada jangkaan," kata Pengarah Urusan IMF, Christine Lagarde, kepada Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia di sini, Ahad.

Bulan lalu, IMF merendahkan unjuran pertumbuhan ekonomi global tahun ini daripada 3.7 peratus kepada 3.5 peratus.

Lagarde memetik apa yang disebutnya "empat awan" sebagai faktor utama yang menjejaskan ekonomi global dan memberi amaran bahawa "badai" mungkin menyerang.

Risiko itu termasuk "ketegangan perdagangan dan kenaikan tarif, pengetatan kewangan, ketidakpastian kesudahan Brexit, dan kesan limpahan dan kelembapan ekonomi China," katanya.

Lagarde berkata ketegangan perdagangan, terutamanya dalam bentuk persengketaan tarif antara Amerika Syarikat (AS) dan China, dua ekonomi terbesar di dunia, sudah pun memberikan kesan global.

"Kami tidak tahu bagaimana kesudahannya dan apa yang kami tahu ialah ia sudah mula memberi kesan kepada perdagangan, keyakinan dan pasaran," katanya, memberi amaran kepada kerajaan untuk mengelakkan dasar perlindungan perdagangan.

Lagarde juga merujuk kepada risiko yang ditimbulkan oleh kenaikan kos pinjaman dalam konteks "hutang berat" oleh kerajaan, firma dan isi rumah.

"Apabila terdapat terlalu banyak awan, ia memerlukan satu panahan petir untuk memulakan ribut itu," katanya. -AFP

1430 dibaca
Berita Harian X